LOEW mahu anak buah bangkit pada aksi seterusnya. FOTO/AFP
LOEW mahu anak buah bangkit pada aksi seterusnya. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Dua hari selepas dipalit kekalahan memalukan, jurulatih Jerman, Joachim Loew tampak seperti kembali meraih ‘semangatnya’ untuk berdepan media menjelang pertembungann dengan Perancis.

“Saya boleh menangani kritikan dengan amat baik,” kata Loew ketika sidang media menjelang perlawanan Liga Negara-Negara Eropah menentang juara dunia itu di Stade de France, awal pagi esok.

Selepas kekalahan 0-3 skuad kendaliannya kepada Belanda, Ahad lalu, Loew seakan-akan bengang dan terganggu apabila enggan menjawab soalan daripada media Jerman membabitkan masa depannya.

Kekalahan itu menyaksikan Jerman mengisi kedudukan tercorot kumpulan, sekali gus mencetus persoalan sama ada beliau masih layak mengekalkan jawatannya berikutan penyingkiran memalukan di Piala Dunia Russia, Julai lalu.

“Sudah tentu, kekalahan di Belanda menghasilkan begitu banyak kerosakan, kepada staf, pemain dan paling terkesan adalah peminat,” kata Loew. 

“Ia tidak mengejutkan saya sangat. Selepas Piala Dunia, ia adalah proses di mana kami perlu menguruskan sesuatu. Akan ada beberapa kejutan atau kekalahan. Saya tidak begitu terkejut.

“Adalah normal untuk saya dikritik, tetapi saya boleh menangani kritikan dengan amat baik. Saya bercakap dengan Presiden (Persekutuan Bolasepak Jerman) dan adalah jelas kami perlu bersatu padu.

“Kritikan daripada luar tidak mengganggu saya. Apa yang penting adalah saya memberi motivasi kepada pemain saya melawan Perancis. Saya boleh melupakan kritikan dengan mudah dan kekal 100 peratus fokus.”

Loew masih meletakkan kepercayaan kepada kelompok bintang veteran yang menyinar di Piala Dunia 2014, antaranya Thomas Mueller, Jerome Boateng dan Mats Hummels sekali pun prestasi mereka jauh daripada apa yang ditampilkan di Brazil.

Pada usia 32 tahun, dan mengalami dua kecederaan patah kaki tahun lalu, Manuel Neuer juga tidak lagi dilihat sebagai penjaga gol berkelas dunia.

Menentang Belanda, Boateng dan Hummels sering memberikan ruang buat tuan rumah dan di jentera serangan, Jerman hanya meledak 10 gol dalam 12 perlawanan terakhir.

Kekalahan kepada Perancis boleh menyebabkan Jerman di ambang penyingkiran ke Liga B, sekali gus mengharungi kekalahan keenam pada 2018 yang menjadi rekod buat skuad berkenaan.

“Kami tidak hilang apa-apa menentang juara dunia,” kata Loew. “Kami di sini untuk mengambil tiga mata.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 10:13 AM