X
ENRIQUE kritik pemain sendiri. FOTO/AFP
ENRIQUE kritik pemain sendiri. FOTO/AFP
Reuters

SEVILLE: Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique tidak dapat menahan diri daripada mengkritik persembahan buruk yang ditampilkan skuad kendaliannya, pada separuh masa pertama ketika tumbang 0-3 kepada England, awal pagi tadi.

Keputusan buruk dalam kempen Liga Negara-Negara itu adalah kekalahan pertama yang dicatatkan Sepanyol dalam perlawanan kompetitif di laman sendiri, dalam tempoh 15 tahun.

Dua gol Raheem Sterling dan satu daripada Marcus Rashford meletakkan England selesa mendahului 3-0 pada babak pertama - kali pertama Sepanyol melepaskan tiga gol dalam aksi kompetitif di gelanggang sendiri.

“Persembahan kami pada babak pertama adalah buruk, kami perlu mengakuinya, kami tidak melakukan hantaran dengan baik dan gol pertama membunuh kami,” kata Enrique mengulas kekalahan pertamanya selaku jurulatih Sepanyol.

Persembahan Sepanyol menyaksikan mereka diejek selepas rehat pada aksi di gelanggang kelab Real Betis, Stadium Benito Villamarin yang mempunyai kapasiti 60,000 tempat duduk.

PENYERANG England, Harry Kane (kanan) berebut bola dengan pertahanan Sepanyol Sergio Ramos. FOTO/AFP
PENYERANG England, Harry Kane (kanan) berebut bola dengan pertahanan Sepanyol Sergio Ramos. FOTO/AFP

Begitupun, tuan rumah mencipta kebangkitan menerusi gol Paco Alcacer selepas sejam perlawanan diikuti gol daripada kapten, Sergio Ramos tetapi jaringan gol yang dicari-cari bagi mengelak rekod 38 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri lebur tetap tidak berhasil.

“Ia permainan yang cukup baik selepas rehat kerana perkara yang biasa adalah dengan ‘membunuh’ pemain, tetapi saya cuba untuk mengekalkan semangat mereka dan memberitahu mereka banyak pasukan terbaik dunia bergelut ketika ini,” kata Enrique.

“Saya faham pasukan saya tidak perlu ditendang atau dikritik dengan dahsyat untuk mengubah perkara, saya perlu menguatkan mereka, mengubah beberapa taktikal yang tidak menjadi dan meletakkan mereka dalam aura positif.

“Kami dapat melihatnya (hasil) pada babak kedua.”

Kemenangan ke atas England boleh meletakkan Sepanyol di peringkat separuh akhir Liga Negara-Negara, Jun tahun depan tetapi keputusan itu tidak menggugat kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan A4 dengan enam mata.

Sepanyol perlu menewaskan Croatia pada aksi berikutnya di gelanggang lawan bagi mengesahkan tempat selaku juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 11:45 AM