JELIUS mahu anak buah berjuang habis-habisan. FOTO/SABAH
Ryan Stanley


KOTA KINABALU: Walaupun menganggap ia misi sukar, namun pengendali Sabah, Jelius Ating tetap mahu pemainnya berjuang habis-habisan pada baki 90 minit separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Perak di Stadium Likas, di sini, Ahad ini.

Pada masa sama, beliau mengakui kekalahan besar 0-5 kepada skuad The Bos Gaurus dalam aksi pertama di Stadium Perak, Ipoh, tempoh hari, masih menjadi mimpi ngeri buat pasukannya.

Namun, beliau berharap pemainnya bijak dan mampu mengatasi situasi itu, seterusnya mempamerkan permainan yang lebih baik di hadapan penyokong sendiri.

"Kekalahan itu memang sukar dilupakan, tetapi saya tegaskan kepada pemain bahawa mereka masih mempunyai 90 minit untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Saya masih percaya dengan ungkapan bola itu bulat dan dalam bola sepak apa pun boleh berlaku... pasukan gergasi seperti Brazil pun boleh kalah 7-1 di gelanggang sendiri. Begitu juga dengan kelab besar yang pernah mengalami nasib sama tetapi bangkit semula selepas itu," katanya hari ini.

Jelius berkata, beliau bukan mahu memberi alasan dengan memberi contoh situasi pasukan serta kelab dari luar negara, tetapi ingin pemainnya mengambil semangat seperti itu untuk menghadapi Perak nanti.

"Alang-alang kita sudah sampai ke tahap ini (separuh akhir Piala Malaysia), jadi saya mahu pemain menamatkannya dengan prestasi baik kerana kita masih ada 90 minit walaupun ketinggalan lima gol.

"Sekarang ini terpulang kepada pemain untuk membuktikannya, kalau pun kita tidak dapat pergi lebih jauh (final), sekurang-kurangnya pemain mempamekan aksi terbaik mereka, lebih-lebih di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Tambah Jelius, mereka kini menjalani latihan seperti biasa selain mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan, Tawau yang juga juara Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017-2018, Sabtu lalu.

Perlawanan di Kompleks Sukan Tawau itu menyaksikan Sabah menang besar 9-0.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu bakal berdepan misi sukar bertemu Perak di gelanggang sendiri nanti apabila perlu mendapat sekurang-kurangnya lima gol selain harus mengelak daripada dibolosi.

Dalam satu lagi saingan separuh akhir, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menanti kunjungan Terengganu FC (TFC) di Larkin, Sabtu ini selepas pusingan pertama menyaksikan skuad Irfan Bakti Abu Salim menang 1-0 di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 12:18 PM