SKUAD Hodak akan menentang Arab Saudi pada perlawanan pertama Sabtu ini.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Pengendali skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Bojan Hodak membariskan skuad terbaik pada Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia bermula esok apabila mengumumkan senarai 23 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia di kejohanan itu nanti.

Bagaimanapun, skuad negara yang diletakkan dalam Kumpulan D hanya akan turun beraksi pada Sabtu ini dengan aksi pertama dijadualkan berdepan bekas juara dua kali, Arab Saudi di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi.

Pasukan kebangsaan kemudiannya akan meneruskan aksi kedua menentang Tajikistan (23 Oktober) di venue sama sebelum mengakhiri aksi diperingkat kumpulan dengan bertemu China (26 Oktober) di Stadium Pakansari, Bogor.

Menerusi senarai dikeluarkan, tidak banyak perubahan apabila Hodak mengekalkan sebahagian besar tonggak yang muncul juara di saingan Piala AFF B-19 di Indonesia pada Julai lalu.

Dua pemain yang kini bersama skuad senior iaitu Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat turut disenaraikan dan mereka akan mula menyertai pasukan sebaik berakhir aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Selain dua bintang muda itu, Hodak mengekalkan kesebelasan utama di kempen AFF sebelum ini iaitu Hadi Fayyadh Abdul Razak, Zafuan Azeman, Shivan Pillay Asokan, Ramadhan Saifullah Usman dan Muhammad Azri Ghani.

Seandainya Malaysia berjaya menduduki dua tempat teratas Kumpulan D, anak buah Hodak akan bertemu juara atau naib juara Kumpulan C (Australia, Korea Selatan, Vietnam dan Jordan) di suku akhir pada 29 Oktober nanti.

Untuk rekod, empat pasukan terbaik daripada kejohanan ini akan mewakili benua Asia bertanding di Piala Dunia Remaja B-20 yang bakal berlangsung di Poland pada pertengahan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 12:36 PM