X
JURULATIH Perak, Mehmed Durakovic. FOTO Muhamamad Zuhairi Zuber
JURULATIH Perak, Mehmed Durakovic. FOTO Muhamamad Zuhairi Zuber
Azizan Hashim


IPOH: “Kami tak rela dikalahkan.” Begitu kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Sabah di Stadium Likas, Ahad ini.

Dengan kelebihan selesa lima gol, Durakovic tetap menyedari Perak tidak boleh bermain sambil lewa.

“Tidak ada istilah beri peluang. Malah jika boleh saya mahu anak buah teruskan rentak kemenangan supaya mara ke final dengan agregat besar,” katanya.

Jurulatih dari Australia itu bagaimanapun sedar perlawanan itu pasti sukar kerana Sabah akan berusaha memadam kelebihan mereka.

“Sabah akan berusaha menebus maruah yang tercalar di Ipoh. Namun saya yakin pemain Perak juga ingin buktikan mereka bukan hanya jaguh kampung,” katanya.

Durakovic kini menunggu kepulangan empat pemain iaitu penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan dan Kenny Pallraj dari kem pasukan kebangsaan selepas perlawanan persahabatan dengan Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Seorang pemain Perak, Nor Hakim Hassan dibenarkan pulang lebih awal kerana kecederaan selepas separuh akhir pertama di Ipoh.

“Dia semakin pulih dan saya harap dia mampu beraksi Ahad ini. Begitu juga dengan empat pemain itu. Saya berdoa mereka kembali dalam keadaan cergas, sihat serta boleh diturunkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 8:10 PM
Digital NSTP Subscribe