MANZOOR Azwira dilantik Ketua Jurulatih Perlis. FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


BEKAS Ketua Jurulatih MOF FC Manzoor Azwira Abd Wahid dilantik sebagai Ketua Jurulatih Singa Utara yang baharu berikutan pengalaman luas yang dimilikinya.

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Mohd Rafie berkata, pemilihan Manzoor Azwira dilihat tepat kerana jurulatih kelahiran Pulau Pinang itu juga mempunyai misi selari dengan pengurusan PFA yang baharu.

“Selain pernah menyarung jersi Perlis, Manzoor adalah jurulatih yang cemerlang ketika bersama MOF FC apabila berjaya membawa pasukan itu ke peringkat separuh akhir Liga FAM.

“Malah selain Perlis, Manzoor turut dilamar beberapa pasukan lain namun atas faktor tertentu dia memilih untuk membimbing Perlis pada musim hadapan,” katanya pada sidang media di Kangar, hari ini.

Manzoor Azwira yang pernah bermain dengan Perlis turut membantu negeri itu memenangi Piala Malaysia pada 2004 dengan menewaskan Kedah dan kembali menjulang piala berprestij itu pada 2006.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan pemain Perlis bagi musim hadapan, Ahmad Amizal berkata, pihaknya akan membuka dua sesi pemilihan pemain pada 22 dan 29 Oktober ini.

“Pemilihan akan diadakan di Perlis (22 Oktober) dan Kuala Lumpur (29 Oktober).

“Selain itu, kita tidak menolak kemungkinan pemain pasukan Qhaleefa MIB FC yang berpangkalan di Kuala Lumpur bakal bermain untuk Perlis,” katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus bekas Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adha Yusuf bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengendali skuad utama PFA.

Ini susulan tersebarnya gambar Nidzam bersama Ahmad Amizal di bandar ini selepas beberapa hari pengurusan baharu dipilih untuk menerajui PFA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 9:20 PM