Reuters

LONDON: Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) dijangka kembali bertugas pada Tahun Baru ini selepas mendapat permintaan daripada seluruh dunia, menurutnya kepada akhbar Jerman, Bild.

Wenger yang meninggalkan Arsenal pada Mei lalu selepas 22 tahun mengendalikan kelab itu berkata, beliau tidak tahu tugas seterusnya tetapi sedia untuk kembali bertugas.

"Saya yakin akan mula bertugas pada 1 Januari tetapi tak tahu di mana,” katanya.

"Terdapat persatuan, skuad kebangsaan, mungkin juga di Jepun,” kata bekas pengurus berusia 68 tahun itu yang mengendalikan kelab Jepun, Nagoya Grampus Eight sebelum menyertai Arsenal.

"Selepas 22 tahun bersama Arsenal, saya memiliki pengalaman luas dalam pelbagai peringkat. Terdapat permintaan dari seluruh dunia.”

Wenger menang tiga trofi Liga Perdana bersama Arsenal tetapi musim terakhirnya bersama kelab utara London itu berakhir dengan kekecewaan apabila Gunners mengalami kemerosotan prestasi dan mengundang kritikan hebat penyokong.

Wenger berkata, Jerman perlukan khidmat perancang Arsenal Mesut Ozil dan bekas juara dunia itu perlu lakukan sesuatu agar Ozil keluar daripada persaraan antarabangsa.

Ozil enggan lagi beraksi untuk Jerman sebaik sahaja kembali daripada kempen Piala Dunia di Russia.

"Saya percaya Jerman perlukan Ozil. Saya harap (pengurus) Joachim Loew dapat menyakinkan dia untuk kembali,” kata Wenger.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 7:47 AM