FARINA SHAWATI MOHD ADNAN

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek wanita negara, Farina Shawati Mohd Adnan hanya akan beraksi dalam pecut berpasukan pada siri Kejohanan Piala Dunia Trek di Eropah bermula di Velodrom Nasional de Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis esok.

Farina yang kini menduduki ranking ke-21 dunia mengesahkan tidak akan beraksi acara keirin dan pecut 200 meter individu wanita kerana memberi laluan kepada pelumba senior Fatehah Mustapa.

“Saya tidak akan bertanding acara keirin kerana John (ketua jurulatih basikal trek kebangsaan, John Beasley) mahu memberi peluang kepada Fatehah untuk mengutip mata menerusi siri Piala Trek Dunia bagi membantunya layak ke Kejohanan Trek Asia 2019 di Uzbekistan (Januari) dan Kejohanan Trek Dunia 2019 di Poland (Februari).

“Oleh itu, kemungkinan besar saya hanya beraksi acara pecut berpasukan bersama Fatehah kecuali kita mendapat satu lagi slot untuk acara pecut nanti.

“Kalau kita dapat satu lagi slot, saya meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod peribadi 11.4 saat,” katanya.

Untuk rekod, siri Piala Trek Dunia menawarkan pungutan mata untuk ke Kejohanan Trek Asia dan Trek Dunia 2019 serta Olimpik Tokyo 2020.

Sebelum ini Farina terpaksa akur gagal layak ke final acara keirin di Sukan Asia 2018 selepas didapati bersalah melakukan hadangan ke atas pelumba Indonesia, Elga Kharisma Novanda di separuh akhir.

Untuk rekod, Farina mula menonjol selepas dia dan Fatehah Mustapha meraih emas pecut berpasukan wanita dengan catatan 34.671s selepas menewaskan Indonesia pada final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, Farina terpaksa melupakan hasrat bergandingan dengan Fatehah di Sukan Asia selepas pelumba dari Dungun, Terengganu itu digugurkan daripada skuad negara.

Berikutan itu, Farina bergandingan dengan seorang lagi pelumba muda negara, Anis Amira Risidi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 3:22 PM