MESUT OZIL
Reuters

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery tidak bimbang dengan keinginan Mesut Ozil untuk mengembalikan prestasinya disebalik kebimbangan yang disuarakan bekas pengurus, Arsene Wenger.

Wenger sebelum ini berkata persaraan perancang tengah Jerman itu daripada pentas antarabangsa mengganggu motivasinya.

Ozil menggantung but dari pentas antarabangsa sejurus kempen Piala Dunia di Russia berakhir yang menyaksikan Jerman tersungkur seawal pusingan pertama. 

Dia yang berketurunan Turki dikritik hebat selepas bergambar dengan Presiden Turki, Tayyip Erdogan sebelum kejohanan di Russia bermula dan mendedahkan berdepan ‘diskriminasi perkauman dan tiada rasa hormat’ disebabkan oleh keturunannya.

Wenger, yang meninggalkan Arsenal selepas 22 tahun pada Mei lalu berkata Ozil sepatutnya kembali beraksi bersama skuad kebangsaan kerana ia ‘mengurangkan sedikit’ semangatnya.

“Motivasi Ozil amat jelas. Kami memerlukan setiap pemain dengan motivasi yang besar setiap hari, dalam latihan, dan terus meningkat dan membantu kami dengan kualitinya,” kata Emery menjelang perlawanan Liga Perdana dengan Leicester, Isnin ini.

“Perkara yang sama diperlukan daripada Mesut, dan juga pemain-pemain lain. Kami mahu perkara ini adalah dalam setiap pemain.”

Ozil yang terlepas aksi ketika Arsenal menang 5-1 di Fulham awal bulan ini susulan kecederaan belakang dijangka boleh beraksi menentang Leicester selain penjaga gol veteran, Petr Cech.  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 1:07 AM