Hodak tak kisah status underdog. FOTO HM Digital
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Dianggap sebagai pasukan ‘ikan bilis’ pada Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) (B-19) di Indonesia, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat skuad muda negara yang bertekad untuk melakar kejutan pada aksi pertama menentang Arab Saudi di Bekasi, petang esok.

Menurut pengendali Bojan Hodak, beliau tidak mengambil endah berhubung status ‘underdog’ yang diberikan terhadap anak buahnya, apatah lagi bersaing dalam Kumpulan D yang turut disertai China dan Tajikistan.

Hodak berkata, perkara lebih penting adalah keinginan kuat untuk menang dalam kalangan pemainnya selepas menjalani persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan itu.

“Apa yang bagusnya kami adalah ‘underdog’, yang mana tak ramai meletakkan harapan tinggi kepada kami.

“Jadi kami akan ambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan ia difahami pemain dengan jelas sekali. Apa pun, saya tetap mahu pemain memberikan aksi terbaik sepanjang kempen,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Kemenangan ke atas Arab Saudi cukup penting buat skuad negara bagi memulakan saingan dengan langkah kanan sebelum mencongak peluang berdepan Tajikistan dan China.

Di atas kertas, Arab Saudi yang juga juara dua kali (1986, 1992) memiliki kelebihan tersendiri namun kejayaan skuad Hodak menjulang mahkota B-19 AFF Julai lalu perlu diberi perhatian dan tidak mustahil kejutan mampu dilakar.

“Ya (juara Piala AFF), itu yang saya katakan, status underdog boleh memberi kebaikan kepada kami. Pada saingan di AFF tempoh hari, kami bukan pasukan pilihan dengan Indonesia, Thailand dan Myanmar calon juara.

“Tapi sebaliknya berlaku apabila kami melangkah ke final sekali gus menjuarainya buat kali pertama. Jadi tak mustahil sekiranya perkara sama boleh berlaku pada aksi pertama bertemu Arab Saudi esok,” katanya.

Pada Kejohanan AFF di Indonesia Julai lalu, Malaysia mengejutkan tuan rumah pada separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar sebelum membuat kejutan kedua dengan menumbangkan Myanmar 4-3 di final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 10:12 PM