PEMAIN Pulau Pinang terseksa dengan kegagalan FAP melunaskan tunggakan gaji. -Foto fail
PEMAIN Pulau Pinang terseksa dengan kegagalan FAP melunaskan tunggakan gaji. -Foto fail
Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Liga Malaysia (Liga-M) terus dicemari isu tunggakan gaji apabila kali ini Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) didakwa gagal melunaskan gaji semua pemainnya sejak Jun lalu.

Tunggakan gaji selama lima bulan itu nyata menghimpit kehidupan pemain apabila ada yang dihalau pemilik rumah ekoran kegagalan membayar sewa selain ada dikejar pihak bank yang menuntut pembayaran bulanan kereta.

Menurut pemain yang enggan dikenali, kehidupan ditempuhinya selama lima bulan ini cukup menyeksakan apatah lagi dia turut mempunyai keluarga untuk diberikan makan dan pakai.

Jelasnya, FAP seolah-olah mahu melepaskan tangan apabila gagal dihubungi biarpun berjanji akan menyelesaikan segala tunggakan itu semalam.

“Pada dua minggu lalu, pihak pengurusan ada memanggil dan kami berunding secara baik. Kalau ikutkan, tunggakan sebenar adalah enam bulan setengah tetapi mereka (PFA) hanya boleh bayar untuk lima bulan saja.

“Kata mereka, jika kami inginkan gaji, mereka cuma boleh bayar lima bulan. Jadi kami semua (pemain Pulau Pinang) setuju dan mereka berjanji nak selesaikan pada 18 Oktober iaitu semalam.

“Tapi bila kami hubungi, mereka buat tak tahu dan hilang begitu saja. Paling geram, mesej (WhatsApp) bertanda biru sudah dibaca namun senyap tanpa rasa bersalah,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Skuad Harimau Kumbang yang bersaing di Liga Perdana musim ini sekadar menamatkan kempen di tangga ke-10 dan nyaris tersingkir ke Piala FAM.

Pulau Pinang yang mendapat sentuhan Zainal Abidin Hassan dilihat bergelut sepanjang musim apabila sekadar mengumpul 21 mata hasil lima kemenangan, enam seri dan sembilan kekalahan daripada 20 aksi liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 10:17 PM