KETUA Jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri, Abdul Rahman Sidek mengendalikan Program Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan (KBS) - Nusa Mahsuri Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung 19 hingga 21 Oktober di Kompleks Belia dan Sukan. FOTO Zulkepli Osman
Amin Ridzuan Ishak


KUANTAN: Tiga hingga enam tahun. Itu mungkin tempoh perlu ditunggu peminat badminton untuk menyaksikan Malaysia melahirkan jaguh bagi menggantikan Datuk Lee Chong Wei.

Itu sasaran diletakkan bekas pemain negara, Abdul Rahman Sidek yang juga Ketua Jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri dalam usaha Malaysia melihat seorang jaguh badminton baharu menggantikan Chong Wei yang disahkan menghidap barah hidung.

Abdul Rahman mengakui, bukan mudah untuk melahirkan pemain berkaliber dan serba lengkap seperti Chong Wei yang melalui proses panjang termasuk dilatih lagenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek.

"Mungkin Chong Wei kini hanya menunggu masa untuk berhenti, kita perlu melahirkan jaguh baharu untuk dijadikan sandaran seterusnya mencapai kejayaan seperti memenangi kembali Piala Thomas.

"Ketika melahirkan Chong Wei dahulu pun, ia mengambil masa lima ke enam tahun...saya rasa paling cepat pun untuk kita lahirkan penggantinya adalah dalam tempoh tiga tahun," katanya ditemui NSTP pada Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan-Nusa Mahsuri peringkat Pahang di sini, hari ini.

Kem yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan negeri itu disertai seramai 60 kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan badminton di peringkat akar umbi.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, peminat badminton harus bersabar serta memberi peluang dalam mencari pengganti Chong Wei kerana ia bukan satu proses mudah.

"Negara lain pun menghadapi masalah sama. China contohnya, dulu ada Lin Dan, selepas itu diganti dengan Chen Long yang kini semakin jatuh...mereka masih mencari pengganti.

"Kena ada jurulatih yang betul-betul berkaliber untuk kita melahirkan pengganti jaguh baharu, kita sudah ada bakat baharu seperti Lee Zii Jia yang dilatih Misbun," katanya.

Mengulas pertemuan 'Anak-Anak Sidek' dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini, Mohd Rahman berkata, ia adalah satu kunjungan hormat selepas Syed Saddiq dilantik ke jawatan itu.

"Beliau meminta pandangan kami bagaimana untuk memenangi kembali Piala Thomas, siapa pengganti Chong Wei dan bagaimana untuk membangunan badminton bagi menandingi kebangkitan negara lain pada masa ini.

"Selain itu ada juga dibangkitkan berkenaan pembangunan di peringkat akar umbi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 2:47 PM