REZAL ZAMBERY YAHYA
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bakal berdepan hukuman berat selepas Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan sudah menyerahkan afidavit kepada Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung tunggakan gaji yang kini menghantui pemain Pulau Pinang.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata, pihaknya ada menerima aduan yang dikemukakan pemain skuad Harimau Kumbang yang tidak dibayar sejak lima bulan. 

"Selepas kami menerima aduan mereka, kami sudah menghantar afidavit kepada FAM untuk dibawa ke Jawatankuasa Status.

"Tindakan mengheret ke pengetahuan FAM adalah kerana kegagalan FAP menjelaskan tentang tunggakan gaji selepas tempoh penjelasan 30 hari gagal dikembalikan.

"Sekarang kami hanya menunggu tarikh mesyuarat Jawatankuasa Status untuk membuat keputusan. Ini adalah prosedur biasa dan saya harap pemain bersabar menunggu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi laporan Sukan NSTP semalam, FAP didakwa gagal melunaskan tunggakan gaji selama lima bulan kepada semua pemain yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit.

Selama tempoh sukar itu, beberapa pemain Pulau Pinang dikatakan dihalau oleh penyewa rumah ekoran kegagalan membayar sewa selain turut menjadi buruan pihak bank yang menuntut pembayaran bulanan kereta.  

"Kami faham pengurusan FAP adalah pengurusan baharu yang dilantik awal musim ini. Bagaimanapun, PFAM akan tetap meneruskan usaha untuk menyelesaikan tuntutan ini hingga selesai," katanya.

Mengulas lanjut tindakan atau hukuman yang bakal menanti FAP seandainya masih berdegil, Rezal menjelaskan pihaknya akan membawa isu berkenaan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan susulan.

“FAM ada prosedur dan sekiranya mereka tidak berbuat apa-apa meskipun Jawatankuasa Status membuat keputusan, kami akan bawa perkara ini ke Jawatankuasa Tatatertib. Pada peringkat ini kemungkinan hukuman berat akan diputuskan seperti pemotongan mata, sekatan pemain import dan juga diturunkan divisyen,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 7:35 PM