MEGAT Shahriman (kiri) menyerahkan borang pencalonan kepada Setiausaha Kehormat MASCA, Mohd Hisyam Sah Nuddin.
MEGAT Shahriman (kiri) menyerahkan borang pencalonan kepada Setiausaha Kehormat MASCA, Mohd Hisyam Sah Nuddin.
Oleh Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Calon Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mahu memastikan sukan air berkenaan tidak lagi dipandang sebelah mata sekiranya diberikan peluang untuk menerajuinya pada pemilihan mesyuarat agung tahunan (AGM), bulan depan.

Itu antara misi yang menjadi tumpuan Megat Shahriman apabila tampil sebagai calon pertama menawarkan diri bagi jawatan Presiden MASCA bagi penggal 2018-2021.

"Saya berharap hasrat ini mendapat sokongan persatuan negeri yang lain. Saya mahu memastikan sukan ini dapat dinaikkan dari ‘kelas’ B ke A," katanya pada sidang media penyerahan pencalonannya, sebentar tadi.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kanu Negeri Sembilan (NESCA) menjelaskan perancangannya adalah memastikan ada atlet negara layak ke Sukan Olimpik 2020 seperti edisi 1996.

"Pada masa sama, saya mahu mewujudkan sebuah pusat latihan yang lengkap bagi sukan ini bagi memastikan pembangunan lebih tersusun dan teratur. Saya tidak boleh melakukannya dengan sekelip mata namun percaya mampu dilaksanakan dengan perancangan yang baik," tambahnya.

Hasrat Megat Shahriman mengisi jawatan nombor satu itu turut mendapat sokongan padu Presiden MASCA, Datuk S Subramaniam yang tidak berhasrat untuk mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2015.

Pemilihan pucuk pimpinan MASCA yang baru dijadual berlangsung pada 17 November membabitkan 15 ahli gabungan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 7:39 PM