HAMIDIN MOHD AMIN
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan yang meninggal dunia pagi tadi.

Menerusi laman facebook rasmi FAM, presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan takziah kepada keluarga Velappan yang banyak berjasa kepada bola sepak Malaysia secara amnya dan rantau ini khususnya.

"Presiden serta seluruh warga kerja FAM mengucapkan salam takziah buat keluarga Datuk Peter Velappan, bekas Setiausaha Agung AFC yang meninggal dunia pagi tadi.

"Mendiang turut pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung FAM dari 1963 hingga 1980 dan dilantik sebagai penolong pengurus skuad kebangsaan pada Sukan Olimpik 1972 di Munich.

"Jasa dan pengorbanan mendiang dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa sepanjang lebih 40 tahun pasti akan terus dikenang".

Mendiang cukup sinonim dengan bola sepak Asia apabila muncul Setiausaha Agung AFC paling lama berkhidmat sejak 1978-2007.

Malah, dalam tempoh tiga dekad itu, mendiang berkhidmat kepada tiga presiden badan induk bola sepak Asia – Tan Sri Hamzah Abu Samah (1978-1994), Sultan Ahmad Shah (1994-2002) dan Mohamad Hamman.

Mendiang bersara pada tahun 2007, tetapi kekal menjadi penasihat untuk bola sepak akar umbi serta penyokong kuat Shaikh Salman.

Kesungguhannya dalam bola sepak di peringkat akar umbi mencetus Vision Asia – program AFC yang dirangka bagi meningkatkan kualiti bola sepak di semua peringkat di seluruh Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 7:40 PM