LOW WEE WERN
Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Low Wee Wern yang kembali beraksi selepas berehat 20 bulan akibat kecederaan kini hanya selangkah untuk menjuarai trofi keempat Jelajah PSA dengan mempamerkan aksi bertenaga di Terbuka Q di Queensland, Australia hari ini.

Wee Wern yang kurang mendapat tentangan daripada pencabar di pusingan awal berdepan rakan senegara Ooi Kah Yah di peringkat separuh akhir dalam kejohanan yang menawarkan hadiah US$5,500 (RM22,869).

Kah Yah yang baru berusia 17 itu tidak mudah menyerah kalah dengan memaksa pemain senior itu bekerja keras di set kedua dan ketiga sebelum Wee Wern menang, 11-2, 12-10, 14-12 dalam masa 26 minit di Carrara Squash Centre.

Dia akan menentang pemain Australia Jessica Turnbull pada aksi final esok. Jessica menewaskan Aika Azman 11-2, 12-10, 12-10 (24 minit) dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Wee Wern berkata, dia tidak boleh mengambil mudah ancaman Jessica yang menduduki ranking ke-77 dunia kerana kedua-duanya belum pernah bertemu sebelum ini.

“Saya belum pernah menentang Jessica dan dia nampak beraksi dengan baik ketika menentang Aika 3-0,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang dan menduduki ranking ke-54.

Wee Wern yang bergelut dengan kecederaan beberapa musim sebelum ini kembali beraksi buat kali pertama dalam masa hampir dua tahun dengan menyertai Kejohanan Kebangsaan yang menyaksikan dia mara ke final pada awal Julai lalu.

Selepas itu dia terus konsisten dengan menjuarai tiga kejohanan PSA berturut-turut iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Tasmania dan Terbuka Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 9:31 PM