PENJAGA gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat. FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat memilih untuk kekal mewakili pasukan Melaka United (MU) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi, berkata pemain itu sudah mengesahkan minat untuk kekal bersama skuad Hang Tuah bagi mengharungi saingan 2019.

Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apek adalah pemain tunggal musim ini yang menyatakan persetujuan awal untuk kekal, sebaik saja saingan MU menamatkan saingan di pentas Piala Malaysia, walaupun kontraknya akan berakhir November depan.

"Tawaran akan dikeluarkan kepada bekas penjaga gol Kelantan itu dalam tempoh terdekat sambil mengharapkan tiada sebarang halangan terhadap persetujuan awal berkenaan.

"Walaupun masih terlalu awal untuk berbicara berkaitan kontrak, namun kenyataan Apek membuktikan komitmen dan kesungguhannnya memperkasa skuad Hang Tuah," katanya.

Tegasnya, pemain lain dalam skuad musim ini masih belum menyatakan perancangan mereka sama ada untuk kekal, atau sebaliknya.

Mohd Yusof mengakui, MU memerlukan sumbangan penjaga gol berpengalaman itu bagi mengisi benteng terakhir pasukan yang diakui turut memberi sumbangan besar dalam usaha menyelamatkan skuad daripada terjerumus ke Liga Perdana.

Apek yang menyertai MU pada pertengahan musim ini dilihat antara tunjang utama skuad itu layak ke pentas Piala Malaysia, walaupun tersekat dalam cubaan untuk melangkah ke suku akhir.

Selain Apek, MU turut memiliki dua penjaga gol iaitu Mohd Zamir Selamat dan Mohd Fazli Paat.

Musim ini, MU turut memiliki ramai pemain terbaik tempatan, termasuk R Gopinathan, S Chanturu, Azmi Muslim, Fakri Saarani, R Surendran dan Faderin Kadir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 11:30 AM