NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS
Malik Muhamad


JOHOR BAHRU: Penalti ‘pelik’ menimbulkan kemarahan Kelab Penyokong Bolasepak Negeri Terengganu (PETEH) ketika aksi mendebarkan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu lalu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, pengadil Mohd Nazmi Nasaruddin ‘menghadiahkan’ sepakan penalti kontroversi kepada Harimau Selatan pada minit ke-40 selepas mendakwa pertahanan TFC, Adib Aizuddin Latif menjatuhkan Safawi Rasid.

Presiden PETEH, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, tindakan memberikan sepakan penalti kepada JDT tidak boleh diterima penyokong skuad Penyu kerana mendakwa situasi berkenaan hanyalah lakonan pemain lawan.

“Penalti berkenaan tidak patut kerana memang jelas pemain lawan berlakon jatuh sendiri, ramai peminat mengutuk mutu pengadilan di laman sosial.

“Malah lebih hairan ketika situasi itu berlaku, pengadil berkenaan berada berdekatan dan tidak mungkin dia tidak lihat dengan jelas. Oleh sebab itu kami boleh rumuskan penalti itu pelik selain mahu memihak kepada lawan,” katanya.

Dalam perlawanan dramatik itu, penyerang skuad Penyu, Kipre Tchetche meledak dua gol untuk bangkit menyamakan kedudukan 2-2 selepas ketinggalan 0-2 hasil jaringan penalti Fernando Marquez dan Gonzalo Cabrera.

Dr Najmil memuji semangat kental ditampilkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang bangkit daripada ketinggalan sebelum menyamakan kedudukan 2-2 dan mara ke final dengan agregat 3-2.

“Selain pemain yang beraksi cemerlang, barisan jurulatih yang diketuai Irfan Bakti juga harus diberi pujian, tidak ketinggalan penyokong yang sanggup ke Larkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 12:59 PM