CRISTIANO RONALDOI
AFP

MANCHESTER: Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo sudah bersedia untuk kembali ke laman bekas kelab lamanya Manchester United bagi pertembungan Liga Juara-Juara awal pagi esok namun percaya skuad dari Itali mampu meraih kemenangan dengan mengikut perancangan ditetapkan.

Ronaldo kembali ke Old Trafford buat kali pertama sejak 2013 ketika dia meledak jaringan buat Real Madrid sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

“Emosional? Saya masih ingat keadaannya ketika saya berada di Manchester,” kata pemain dari Portugal itu.

“Saya memenangi banyak trofi di sini. Saya juga mengingati sokongan diterima, sokongan yang luar biasa.”

Ronaldo mengecapi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan dua Piala Liga termasuk trofi pertama daripada lima Liga Juara-Juara sepanjang kariernya dalam tempoh enam tahun di United.

Dia juga menjangkakan satu perlawanan sengit untuk menentang barisan kendalian Jose Mourinho nanti.

United kini berada di tangga ke-10 dalam Liga Perdana selepas mengalami permulaan musim yang sukar dan kedua dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara, dua mata di belakang Juve dengan meraih satu kemenangan dan satu seri pada dua perlawanan awal mereka.

“Ia akan menjadi satu perlawanan sukar. Manchester mempunyai pasukan yang bagus, mereka bermain di laman sendiri,” kata Ronaldo.

“Ia akan menjadi sengit buat kami tetapi kami mempunyai senjata tersendiri. Kami mempunyai peluang, saya tahu sekiranya kami bermain dengan mengikut kemahuan jurulatih, kami mempunyai peluang yang baik untuk memenangi perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 7:48 AM