RAFINHA (dua dari kanan) jaring gol pembukaan buat Barcelona. -Foto AFP
Reuters

BARCELONA: Barcelona mengharungi ujian pertama tanpa Lionel Messi yang cedera dengan meraih kemenangan meyakinkan di laman sendiri, menewaskan Inter Milan 2-0 sekali gus menguasai Kumpulan B Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pemain tengah, Rafinha membuka tirai jaringan ke atas kelab lamanya itu pada minit ke-32 perlawanan.

Bek kiri dari Sepanyol, Jordi Alba memuktamadkan kemenangan pada lewat babak kedua seterusnya meranapkan rekod tujuh kemenangan berturut-turut lawan dari Itali itu dan menjamin kemenangan ketiga berturut-turut buat barisan Ernesto Valverde dalam aksi Liga Juara-Juara.

"Kami perlu meningkatkan permainan dengan ketiadaan Leo,” kata Valverde. “Semua pemain tahu akan hakikat ini.” Luis Suarez, Arthur Melo dan Philippe Coutinho kesemuanya beraksi cemerlang dalam perlawanan itu.

Barca mendahului Kumpulan B dengan sembilan mata manakala Inter berada di tangga kedua, enam mata dan kemenangan Catalan pada aksi timbal balik di San Siro dalam tempoh dua minggu nanti akan menjamin tempat ke pusingan 16 terbaik kejohanan elit Eropah itu.

Dengan pemain tonggak dari Argentina Messi hanya menyaksikan perlawanan dari bangku tempat duduk penonton selepas cedera tangan kanan ketika menentang Sevilla, Sabtu lalu, kelab Catalan itu pada awalnya dilihat kurang menyerlah.

Bagaimanapun, mereka mampu melepasi kegusaran awal permainan ketika satu hantaran rendah diterima kapten Inter, Mauro Icardi namun sepakan pemain Argentina yang juga bekas pemain remaja Barca melepasi palang gol.

Barca kemudiannya mula menguasai perlawanan namun dengan pemain tengah Brazil Arthur Melo mempamerkan aksi cemerlang dan membantu Barca untuk menguasai hampir keseluruhan padang.

Kelab pelawat mampu menyesuaikan diri dan mempunyai beberapa percubaan berbahaya namun ia mudah dipatahkan penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen.

Barca sekali lagi terus menguasai permainan dan Alba menutup jaringan kemenangan dan kejayaan itu pasti memberi mereka keyakinan menjelang aksi ‘Clasico’ menentang Real Madrid, Ahad ini.

Dan apa yang utama, mereka kini dilihat tidak begitu memerlukan Messi di padang untuk menewaskan salah sebuah pasukan terbaik di Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:41 AM