GUERREIRO (kanan) jaring gol kedua Dortmund ketika menentang Atletico. -Foto EPA
GUERREIRO (kanan) jaring gol kedua Dortmund ketika menentang Atletico. -Foto EPA
AFP

DORTMUND, Jerman: Borussia Dortmund mengejutkan Atletico Madrid dengan kemenangan 4-0 awal pagi tadi seterusnya semakin hampir ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara ketika pemain remaja England, Jadon Sancho menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan itu.

Ia kekalahan terbesar dalam Liga Juara-Juara pernah dialami Diego Simeone selama tujuh tahun selaku jurulatih Atletico dan meletakkan Dortmund selaku pendahulu Kumpulan A selepas kedua-dua pasukan sebelum ini menewaskan Club Brugge dan Monaco.

“Anda tidak boleh bayangkan ia. Pujian besar buat pasukan, kerana bukan setiap hari anda menjaringkan empat gol berdepan Atletico,” kata kapten Dortmund, Marco Reus.

Dia memuji pertahanan Achraf Hakimi yang dipinjamkan dari Real Madrid, apabila mencipta dua umpanan untuk gol menerusi persembahan hebat.

“Achraf amat penting buat kami di sayap, dia pantas dan mengambil masa yang sesuai untuk membawa bola ke dalam kotak penalti,” kata Reus.

Axel Witsel memberikan Dortmund gol pembukaan di Signal Iduna Park apabila sepakannya membias dan masuk sebelum Raphael Guerreiro, menjaringkan dua gol pada babak kedua dan pemain berusia 18 tahun, Sancho masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan satu lagi gol.

“Kami tidak boleh menyalahkan nasib malang atau apa-apa,” kata kapten Atletico, Diego Godin. “Kami memulakan babak kedua dengan baik tetapi dalam bola sepak, anda perlu mengambil peluang.”

“Kedudukan teratas nampak sukar ketika ini dengan kelebihan jaringan mereka, tetapi kami akan cuba menewaskan mereka di tempat sendiri,” katanya dengan kedua-dua pasukan akan kembali bertemu di Madrid dalam tempoh dua minggu.

Dortmund beraksi tanpa pemain Sepanyol dalam prestasi terbaik, penyerang Paco Alcacer yang sudah menjaringkan tujuh gol dalam hanya empat saingan Bundesliga kerana kecederaan kaki manakala Diego Costa kembali berpasangan dengan Antoine Griezmann di depan buat Atletico.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 8:14 AM