MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bergambar bersama atlet-atlet SUKMA Wilayah Persekutuan selepas majlis penghargaan dan penyerahan insentif SUKMA XIX Perak 2018 Kontinjen Wilayah Persekutan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bergambar bersama atlet-atlet SUKMA Wilayah Persekutuan selepas majlis penghargaan dan penyerahan insentif SUKMA XIX Perak 2018 Kontinjen Wilayah Persekutan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Haika Khazi dan Suhaila Shahrul Annuar


PUTRAJAYA: Wilayah Persekutuan mensasarkan untuk muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA) Johor 2020 berdasarkan prestasi membanggakan pada edisi tahun ini di Perak.

"Saya menyeru semua pihak supaya menggembeleng tenaga dan menyusun strategi terbaik sebagai persediaan awal untuk menghadapi SUKMA 2020 di Johor kelak,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada Majlis Penghargaan dan Penyerahan Insentif SUKMA XIX Perak 2018, Kontinjen Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Usaha dan perancangan ini perlu dilaksanakan sekarang kerana tempoh dua tahun adalah terlalu singkat dan sudah pasti sasaran Wilayah Persekutuan pada SUKMA Johor adalah untuk muncul juara keseluruhan." 

Pada majlis itu atlet-atlet Wilayah Persekutuan yang meraih pingat pada temasya SUKMA XIX Perak 2018 menerima insentif masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM830,500. 

"Pada SUKMA XIX Perak 2018, kontinjen Wilayah Persekutuan berjaya berada pada kedudukan kedua terbaik daripada 15 kontinjen yang bertanding dengan pencapaian pingat sebanyak 52 emas, 38 perak dan 50 gangsa.

 "Penyumbang terbesar pingat bagi Kontinjen Wilayah Persekutuan adalah menerusi sukan akuatik renang apabila berjaya memungut sebanyak 17 pingat (enam emas, enam perak, lima gangsa) diikuti angkat berat, 14 pingat (sembilan emas, satu perak, empat gangsa) dan sukan karate sebanyak 11 pingat (lima emas, dua perak, empat gangsa).

"Lebih membanggakan apabila atlet Wilayah Persekutuan berjaya memecahkan tujuh rekod SUKMA dan memperbaharui satu rekod Kebangsaan pada SUKMA kali ini menerusi sukan angkat berat, menembak, renang dan olahraga," katanya. 

Setiap atlet Wilayah Persekutuan yang menyumbang pingat emas menerima insentif RM5,000 bagi acara individu dan RM4,000 bagi acara berpasukan, RM1,500 dan RM1,000 bagi pemenang pingat perak dan RM1,000 serta RM800 untuk pemenang pingat gangsa individu dan berpasukan.

Manakala atlet yang berjaya memecahkan rekod SUKMA pula menerima insentif tambahan berjumlah RM500 dan RM1,000 bagi rekod Kebangsaan. 

Pada majlis itu juga pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) memberikan insentif kepada atlet mereka yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Komanwel 2018, Sukan Asia 2018 dan Sukan Para Asia 2018 dengan jumlah keseluruhan RM57,100. 

SUKMA XIX Perak 2018 melabuhkan tirainya pada 22 September lalu dengan Terengganu muncul juara selepas meraih 56 emas diikuti Wilayah Persekutuan (52 emas), Selangor (47 emas), Sarawak (42 emas) dan tuan rumah, Perak di kedudukan kelima dengan 37 emas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:56 AM