JIN Wei (dua dari kanan) mahu akhiri saingan di peringkat remaja dengan keputusan cemerlang.
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei enggan terus dibuai mimpi indah susulan kejayaan memenangi pingat emas Sukan Olimpik Belia Buenos Aires 2018 dan menegaskan ia bukan satu kelebihan buatnya menjelang Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, bulan depan.

Pemain berusia 18 tahun itu berkata, cabaran di Markham dari 12 hingga 18 November depan lebih sukar terutama apabila China akan disertai tiga hingga empat pemain.

“Olimpik Belia dengan Kejohanan Remaja Dunia berbeza. Di Argentina, China hanya ada seorang wakil tapi di Kejohanan Remaja Dunia, mereka mungkin ada tiga hingga empat pemain.

“Suasana kejohanan juga berbeza. Saya tidak fikir menang di Buenos Aires satu kelebihan buat saya. Cuma tidak dinafikan ia meningkatkan lagi tahap keyakinan saya,” kata Jin Wei ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Jin Wei mencipta sejarah apabila muncul atlet pertama negara meraih emas pada temasya Sukan Olimpik Belia selepas menundukkan pemain China, Wang Zhiyi 16-21, 21-13, 21-18 pada final dua minggu lalu.

Pemain ranking ke-27 dunia itu berkata, memandangkan ia penampilan terakhirnya di peringkat remaja, dia mahu mengakhirinya dengan noktah gemilang selain bertekad untuk mengulangi kejayaan muncul juara pada edisi 2015.

“Saya sebenarnya enggan terlalu fikir mengenai gelaran tapi seboleh-bolehnya saya mahu mengakhiri saingan di peringkat remaja dengan keputusan cemerlang. Saya buat persiapan terbaik menjelang kejohanan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 1:08 PM