PEMAIN Perak, Brendan Gan bersama Piala Malaysia dan trofi Pemain Terbaik bergambar bersama penyokong Perak di Stadium Shah Alam. FOTO Bernama
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: ‘Penangan’ kaki kiri Brendan Gan berjaya menghidupkan peluang Perak selepas jaringannya pada minit akhir itu menjadikan kedudukan 2-2 sekali gus mengheret perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC malam tadi ke masa tambahan.

Mengakui tidak pernah melakukan percubaan dengan kaki kiri, pemain tengah berusia 30 tahun itu akhirnya terpaksa menggunakan kaki kirinya untuk melakukan rembatan namun percubaannya ‘bertuah’ apabila ia menerjah gawang TFC ketika lawan sudah hampir meraikan kemenangan.

“Bola jatuh di kaki saya jadi saya melakukan percubaan dengan kaki kiri meskipun saya tidak pernah berbuat demikian sebelum ini. Akhirnya bola masuk ke dalam gol.

“Saya jarang menjaringkan gol jadi apa yang boleh saya katakan, saya menyimpan gol saya untuk detik penting dan ia dijaringkan seperti perlawanan malam ini (malam tadi),” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut kejayaan skuad The Bos Gaurus merangkul Piala Malaysia buat kali kelapan, bekas pemain Kelantan itu mengakui gembira dengan kemenangan itu selepas bergelut dengan masalah kecederaan musim lalu.

“Bagus rasanya untuk kembali beraksi selepas musim lalu yang sukar, jadi saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana memberi peluang kepada saya untuk melakukan perkara yang saya sukai.

“Memenangi Piala Malaysia satu bonus yang besar apatah lagi kerana ini adalah trofi sulung saya. Saya bangga dengan rakan sepasukan yang menunjukkan semangat juang sejak dari mula hinggalah final malam ini,” katanya.

Terdahulu, Perak menamatkan penantian 18 tahun menjulang Piala Malaysia apabila menewaskan skuad Penyu 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 pada aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 12:53 PM