Mohd Hafizee Mohd Arop dan Farah Suhaidah Othman


LEBIH 100 penyokong pasukan The Bos Gaurus menyambut ketibaan Piala Malaysia di Stadium Perak jam 1.30 tengah hari, hari ini.

Walaupun tanpa kehadiran pemain di dalam bas yang membawa piala berprestij itu, namun kegembiraan dan keterujaan jelas dilihat di wajah kesemua penyokong yang hadir di pekarangan stadium itu.

Ketibaan piala dan beberapa pengurusan pasukan itu disambut Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Seorang penyokong, Mohd Fairos Tajudin, 36, berkata dia agak terkilan berikutan tidak dapat menonton perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, semalam kerana bekerja.

Katanya, berikutan itu dia bersama keluarganya datang ke Stadium Perak bagi melihat sendiri piala berprestij terbabit serta menunjukkan sokongan terhadap pasukan kesayangan.

“Semalam kami memang puas hati menyaksikan perlawanan, (Perak) mampu membalas jaringan walaupun ketinggalan dan sebagai anak Perak, saya sangat berbangga dengan kemenangan ini.

“Semangat pemain yang berjuang habis-habisan membuktikan mereka bermain kerana lencana di dada,” katanya.

Peminat lain Mohd Rozi Zakaria, 48, berkata dia membawa anak-anaknya datang memberi sokongan di stadium berkenaan untuk turut sama berada dalam lipatan sejarah pasukan apabila memenangi piala itu, tahun ini.

Katanya, meskipun terkilan kerana tidak dapat menyaksikannya secara langsung di Stadium Shah Alam kerana kehabisan tiket, namun sokongan serta semangatnya tetap bersama pasukan itu.

“Saya bawa anak-anak datang ke sini untuk melihat dengan mata sendiri Piala Malaysia. Perlawanan semalam memang kenangan terindah bagi saya sebagai penyokong Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 3:30 PM
PEMINAT The Bos Gaurus tidak melepaskan peluang bergambar dengan Piala Malaysia yang dimenangi pasukan itu, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
PEMINAT The Bos Gaurus tidak melepaskan peluang bergambar dengan Piala Malaysia yang dimenangi pasukan itu, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Digital NSTP Subscribe