AKSI Leandro dan Wander Luiz menari selepas Zonjic tertampan gol sendiri pada perlawanan final Piala Malaysia 2018, semalam. FOTO
AKSI Leandro dan Wander Luiz menari selepas Zonjic tertampan gol sendiri pada perlawanan final Piala Malaysia 2018, semalam. FOTO
Naqib Nor Said


PEMAIN import Perak, Leandro dos Santos dan Wander Luiz memang wajar bergembira dengan jaringan sendiri pemain pertahanan Terengganu FC, Igor Zonjic untuk mengheret aksi final Piala Malaysia 2018, semalam ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam masa tambahan.

Namun, cara mereka 'menganjing' ketika meraikan jaringan ketiga Perak itu dengan aksi menari di depan Zonjic, 27, boleh diibaratkan sebagai tindakan tidak profesional walaupun pengadil Suresh Jayaraman melayangkan kad kuning kepada Leandro.

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Rezal Zambery Yahya berkata, tindakan pemain meraikan gol tidak salah, tetapi ia boleh dikira sebagai satu kesalahan sekiranya diraikan dengan keterlaluan.

“Pada pandangan saya tiada semangat kesukanan yang ditunjukkan kedua-dua pemain terbabit.

“Tidak salah untuk meraikan jaringan, tetapi jika berlebihan ia boleh dikira sebagai satu kesalahan. Mengenai tindakan selebihnya terserah kepada badan terbabit dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas kedua-dua pemain import dari Brazil itu apatah lagi mungkin ia dilakukan tanpa ada niat yang buruk.

“Apa pun kita perlu ambil kira situasi itu terjadi kerana mungkin pemain begitu teruja menyamakan kedudukan di saat akhir, malah saya melihat ini sebagai budaya pemain asing.

“Pemain tempatan jarang melakukan tindakan seperti ini,” katanya.

LEANDRO dilayang kad kuning selepas melakukan 'provokasi' ke atas Zonjic. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
LEANDRO dilayang kad kuning selepas melakukan 'provokasi' ke atas Zonjic. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Selepas tindakan menari itu, Wander Luiz juga dilihat datang menekup kepala Suresh menggunakan tangan sebaik pengadil itu melayangkan kad kuning kepada Leandro.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 6:34 PM
Digital NSTP Subscribe