ADAM Norrodin. FOTO Arkib NSTP
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto3 negara Adam Norrodin memperagakan tunggangan meyakinkan apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Australia di kedudukan ketujuh sekali gus menjadi tonik terbaik menjelang perlumbaan GP Malaysia, minggu depan. 

Berlangsung di Litar Phillip Island, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu mengakui perlumbaan, hari ini cukup sukar selepas bermula di petak ke-13. 

“Perlumbaan hari ini sangat sukar. Anda sendiri dapat lihat betapa setiap pelumba berusaha bersungguh-sungguh. 

“Terdapat jurang yang besar dan setiap pelumba mahu memenangi perlumbaan. Saya dapat menyaksikan beberapa kemalangan besar. 

“Saya bermula dengan baik dan dapat memotong beberapa pelumba. Tetapi kemudian saya tak dapat bersaing kerana seperti ada sesuatu yang hilang,” katanya.

Adam mengakui gembira dapat menamatkan perlumbaan dalam kedudukan 10 terbaik sekali gus meraih sembilan mata berharga. 

“Saya harap dapat beraksi dengan lebih baik di halaman sendiri, minggu depan,” katanya. 

Sementara itu, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi bersama Monster Yamaha Tech 3 gagal menamatkan perlumbaan kerana terjatuh selepas bermula di petak ke-10. 

Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) pula menamatkan saingan di kedudukan ke-16.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 6:58 PM