MAURICIO POCHETTINO
AFP

MANCHESTER: Pengurus City, Pep Guardiola percaya peningkatan yang dilakukan oleh Mauricio Pochettino dan Tottenhan menyebabkan beliau tersilap langkah apabila melabelkan Spurs sebagai ‘pasukan Harry Kane’, pada musim lalu.

Komen yang dilemparkan Guardiola pada tahun lalu itu seolah-olah seperti menghentam Pochettino, selepas beliau menilai Spurs sebagai pasukan ‘seorang pemain’.

City berkunjung ke Wembley awal pagi esok, dengan pretasi terbaik dan cuba mengulangi rekod meraih 100 mata untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL). Musim lalu, City mudah mengetepikan Spurs dalam dua pertembungan liga.

Bagaimanapun, selain faktor keletihan yang menghantui Kane selepas kempen Piala Dunia, Spurs berdepan masalah kecederaan pemain serta terpaksa menunggu stadium baharu siap, sekurang-kurang pada tahun baru.

“Mereka membuktikan saya silap. Saya rasa beliau sekarang ini adalah antara jurulatih hebat. Sejak beberapa tahun beliau melakukan latihan pada peringkat tertinggi.

“Beliau lakukan tugas dengan baik di Espanyol dan Southampton, kini di Tottenham. Saya sangat menghormati tugas yang dilakukannya sepanjang karier, jadi secara realitinya sebagai pengurus, beliau tidak perlu disangkal lagi,” kata Guardiola.

Guardiola sekali lagi menganggap Pochettino adalah pilihan tepat buat Real Madrid pada masa akan datang dengan Julen Lopetegui kini dilihat berada dalam tekanan.

“Beliau dikaitkan beberapa kali dengan Real Madrid. Beliau mampu menjawab soalan tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku. Apa yang saya rasakan Pengerusi Tottenhem, Daniel Levy bukanlah individu yang mudah untuk dibawa berbincang,” kata Guardiola.

Guardiola juga mengakui Spurs adalah antara pasukan yang mampu mencabar kejuaraan selepas bersaing hebat dengan lima pasukan utama Liga Perdana.

City kini ketinggalan tiga mata berbanding Liverpool yang meraih 26 mata, namun mereka mampu merampas status pendahulu jika menang ke atas Spurs esok, kerana memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

“Apabila anda menentang pesaing utama, ia seperti meraih enam mata. Saya tidak tahu apa yang berlaku sebelum ini, tetapi hakikatnya pasukan kuat banyak mengumpul mata dan mereka tidak mudah keciciran mata.

“Itu yang menyebabkan perlawanan menentang pesaing utama menjadi sangat penting. Kami bermula dengan tiga perlawanan menentang mereka di tempat lawan. Jadi ia sangat penting untuk merebut setiap mata,” kata Guardiola.

Tottenham dan Pochettino adalah pasukan pertama yang mengajar Guardiola erti kekalahan dalam bola sepak di England selepas mereka mengalahkan City 2-0, di White Hart Lane Oktober 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 1:00 PM