NOVAK DJOKOVIC
AFP

PARIS: Novak Djokovic berada di landasan tepat untuk merampas gelaran pemain nombor satu dunia apabila menang 7-5, 6-1 mengatasi Joao Sousa di kejohanan tenis Paris Masters, awal pagi tadi. 

Pada masa sama, Roger Federer pula mengesahkan dia akan menyertai kejohanan itu buat kali pertama sejak 2015. 

Djokovic mampu mengambilalih kedudukan Rafael Nadal pada minggu ini jika dia mempamerkan prestasi lebih baik berbanding pencabarnya dari Sepanyol itu dalam perlawanan di ibu negara Perancis.

Pemain dari Serbia ini pernah muncul juara empat kali dalam kejohanan dalam dewan di Perancis. 

Setakat ini, Djokovic juga tidak pernah keciciran satu set ketika lima kali berdepan dengan Sousa dari Portugal, tetapi dalam aksi pagi tadi, dia ketinggalan 1-4 pada aksi pembukaan sebelum bangkit menang 6-5.

Selepas mengenepikan Sousa, juara Grand Slam 14 kai ini bakal berdepan Damir Dzumhur dari Bosnia dalam pertembungan peringkat 16 terbaik.

Dzumhur mara selepas menumbangkan bintang Greek yang juga pilihan ke-14, Stefanos Tsitsipas dengan keputusan 6-3, 6-3.

Federer pula akan memulakan aksi menentang pemain Kanada, Milos Raonic hari ini selepas mendapat bye pada pusingan pertama.

Kali terakhir Federer meraih kemenangan di Bercy ialah pada 2011 dan ketika penampilan terakhir pada 2015, dia dikejutkan oleh sensasi Amerika Syarikat (AS), John Isner di pusingan 16 terbaik.

Bintang Switzerland ini terlepas dua siri terakhir kejohanan di Paris akibat kecederaan serta terpaksa memilih kejohanan akibat jadual yang terlalu padat. Dia juga tersingkir dalam tiga penampilan terakhir Terbuka Perancis.

Ia juga kejohanan bukan Grand Slam yang pertama disertai ramai pemain ternama, termasuk Federer, Nadal dan Djokovic sejak Indian Wells Masters pada tahun lalu.

“Bagi saya, lebih baik saya beraksi di kejohanan berbanding hanya menjalani latihan. Selagi ia tidak menjejaskan kesihatan dan persiapan saya ke London (ATP Finals), ia tidak menjadi isu besar, kerana itulah keutamaan saya,” kata Federer.

“Saya gembira untuk beraksi. Saya rasa sudah pulih sepenuhnya sejak minggu lalu. Jadi, saya akan beraksi esok (hari ini) dan begitu teruja untuk turun ke gelanggang,” katanya yang menjuarai kejohanan dalam dewan di Basel, Switzerland, Ahad lalu.

Dalam perlawanan lain, Raonic melakukan 23 servis ace untuk menyingkirkan pemain tuan rumah, Jo-Wilfried Tsonga 6-7 (4/7), 7-6 (7/5), 7-6 (7/5) dalam perlawanan pembukaan.

Federer juga mengesahkan dia menerima jemputan untuk beraksi dalam kejohanan  pertunjukkan menentang Nadal dan Djokovic di Arab Saudi pada Disember ini, namun pemain berusia 37 tahun ini menolak pelawaan berkenaan .  

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 7:50 AM