Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Pembangunan e-Sports (sukan elektronik) akan menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang Media Prima Digital (MPD) selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kitamen, sebuah syarikat tempatan yang pakar dalam produk dan perkhidmatan sukan itu, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MPD, Rafiq Razali berkata, MPD bukan saja bertindak sebagai syarikat penyiaran atau media, tetapi lebih daripada itu bagi memastikan mereka dapat bersaing dengan pesaing lain. 

"Kami mahu memberi sokongan kepada peringkat pembangunan akar umbi yang mana pelajar universiti dan kolej berminat kepada e-Sports. Kami akan memberi fokus terutamanya daripada permulaan. 

"Ketika media lain lebih fokus kepada lebih banyak acara utama, saya rasa kami tidak akan mengikut langkah sama dan kini fokus utama adalah untuk membangunkan e-Sports. 

"Bukan saja sebagai entiti penyiaran tetapi untuk membangunkan pemain e-Sports di Malaysia," katanya. 

Perjanjian selama setahun bersama Kitamen akan menyaksikan MPD menawarkan platform seperti televisyen digital, percetakan dan radio untuk digunakan bagi mempromosikan sukan berkenaan. 

Sementara itu, Kitamen pula boleh menggunakan khidmat aset Media Prima untuk meraih sokongan ramai seperti menerusi Karnival Jom Heboh serta kejohanan institut pengajian tinggi (IPT) pada masa depan. 

  

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 4:10 PM
RAFIQ ketika sidang media selepas majlis Kolaborasi Media Prima Digital dan Kitamen Teraju eSukan di Bangsar South. NSTP/SADDAM YUSOFF
RAFIQ ketika sidang media selepas majlis Kolaborasi Media Prima Digital dan Kitamen Teraju eSukan di Bangsar South. NSTP/SADDAM YUSOFF