KEVIN ditemuramah wartawan pada Majlis Pengundian Nike Challenge Cup 2018 di Ibu Pejabat Nike, Damansara Perdana. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Meskipun terpaksa berbelanja jutaan ringgit, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi jaminan Badan Bebas Pengadil tetap akan ditubuhkan menjelang Liga Malaysia (Liga-M) bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya kini sedang melihat penstrukturan badan bebas itu termasuk melantik seorang pengurus besar yang turut akan bertanggungjawab dalam pemilihan dua pengadil luar negara.

"Memang untuk menubuhkan badan berkenaan menelan kos yang besar kerana kita bukan saja mengikat kontrak dengan pengadil profesional sepenuh masa tapi beberapa perkara lain seperti sistem analisis perlawanan dan pendidikan pengadil tetapi jurulatih kecergasan pengadil juga kita perlu ada.

"Tapi walaupun belanja besar, perkara ini tetap akan kita laksanakan pada 2019 mengikut kemampuan dan bajet kita, kita tidak akan tunggu," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan akan menubuhkan Badan Bebas Pengadil dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengadilan yang ketika ini terus menjadi kritikan ramai pihak.

Antara perkara yang dirancang adalah untuk menawarkan kontrak pengadil profesional sepenuh masa dan juga pengadil luar negara.

"Kontrak pengadil profesional sepenuh masa ini akan ditawarkan kepada pengadil yang bertugas dalam Liga Super dan Liga Perdana termasuk penolong pengadil. Tapi tak semua pengadil boleh terus layak menjadi pengadil profesional kerana ada juga yang semi-pro atau separuh masa.

"Siapa pengadil yang akan ditawarkan ini termasuk dua pengadil luar negara itu hanya akan diputuskan menerusi pemilihan sendiri pengurus besar itu nanti," kata Kevin.

Ketika ditanya mengenai 25 pengadil baharu yang dihantar ke Jepun antara Disember dan Januari tahun depan, Kevin berkata, pengadil berkenaan masih memerlukan pendedahan sebelum bergelar profesional.

"Pemilihan 25 pengadil baharu ini dibuat oleh Jabatan Pengadil FAM yang berurusan terus dengan pihak Jepun dan ia mendapat sokongan penuh Tunku Ismail. Tapi adakah pengadil ini akan terus menjadi pengadil profesional bergantung kepada perkembangan mereka selepas ini," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 5:18 PM