ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
AFP

PARIS: Novak Djokovic menyifatkan kejayaan kembali menduduki ranking nombor satu dunia sebagai ‘pencapaian luar biasa’ ketika dia dan seteru utamanya, Roger Federer melangkah ke suku akhir Paris Masters.

Juara empat kali di Paris, Djokovic mara ke peringkat lapan terbaik apabila pemain Bosnia, Damir Dzumhur menarik diri susulan kecederaan di kedudukan 6-1, 2-1, awal pagi tadi.

Legenda Switzerland, Federer pula menyingkirkan pemain Itali, Fabio Fognini 6-4, 6-3 dan kini hanya memerlukan tiga kemenangan untuk merangkul gelaran ke-100 dalam kariernya.

Djokovic akan menggantikan tempat Rafael Nadal sebagai pemain nombor satu dunia, Isnin ini selepas dua tahun.

Kebangkitan yang ditampilkan pemain berusia 31 tahun itu cukup menakjubkan selepas dia terjerumus ke ranking ke-22, yang terburuk dalam kariernya sepanjang 12 tahun apabila tersingkir di suku akhir Terbuka Perancis, lima bulan lalu.

Begitupun sejak itu, pemain Serbia itu memenangi Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat untuk mengumpul 14 gelaran Grand Slam dan memenangi 20 perlawanan kompetitif berturut-turut buat kali keenam dalam kariernya.

“Mengimbas apa yang saya harungi pada tahun lalu, ia adalah pencapaian yang agak luar biasa,” kata Djokovic yang dijadual bertemu Marin Cilic bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

“Saya amat, amat gembira dan berbangga mengenainya. Lima bulan lalu, ia terlalu mustahil disebabkan oleh ranking saya dan juga cara saya bermain dan rasa di atas gelanggang.

“Saya mungkin dapat bercakap dengan lebih bangga mengenainya apabila musim berakhir dan berharap saya dapat menamatkannya sebagai nombor satu.”

Federer, 37, yang memenangi trofi ke-99 di laman sendiri di Terbuka Basel, minggu lalu dijadual bertemu bintang Jepun, Kei Nishikori selepas ini.

Ia adalah penampilan pertama Federer yang diletakkan pilihan ketiga di Paris Masters sejak 2015 dan dia berharap untuk menjulangnya buat kali kedua selepas 2011.

“Saya fikir kami berdua tidak berada di prestasi terbaik, tetapi kami bertarung dengan apa yang kami miliki dan pada akhirnya saya fikir mungkin saya melakukan servis lebih baik berbanding Fabio ketika tempoh genting,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 8:18 AM