ZAINAL mampu cetus impak besar kepada Melaka. FOTO/NSTP
ZAINAL mampu cetus impak besar kepada Melaka. FOTO/NSTP
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Legenda bola sepak negara, Ramli Junit yakin Zainal Abidin Hassan mampu membimbing Melaka United (MU) muncul sebagai pencabar utama Liga Super musim depan dan melahirkan lebih ramai bakat muda ke pentas lebih tinggi.

Baginya, nama besar dimiliki bekas pengendali Selangor itu secara tidak langsung menyuntik motivasi pemain, selepas dikatakan menjadi calon pilihan untuk mengambil alih tugas jurulatih musim ini, E Elavarasan.

Katanya, pengalaman luas Zainal, termasuk pernah melatih skuad remaja kebangsaan, The Red Giants, Pahang serta Pulau Pinang mampu menjadi panduan buatnya untuk membentuk skuad yang lebih mantap pada musim 2019.

"Bukan mudah untuk merangka pasukan selepas peninggalan Elavarasan. Jadi, rekod baik Zainal pastinya tidak membimbangkan penyokong setia untuk melihat skuad ini kekal bersaing di liga utama, bahkan lebih digeruni.

"Satu keistimewaan bekas pemain pertahanan dan penyerang kebangsaan itu adalah pengalamannya sebagai pemain era 1980-an dan 90-an yang boleh mendidik bakat baharu menjadi bintang besar.

"Malah, sudah sampai masanya lebih ramai pemain muda diberi tanggungjawab kerana sudah lama Melaka tidak memiliki bakat muda yang boleh diketengahkan ke peringkat Liga Super seperti Kedah," katanya.

Kehadiran Zainal pasti memberi impak kepada pasukan selain meningkatkan perkembangan ke arah pembentukan bakat baharu yang pernah dilahirkan Melaka di Liga Malaysia sebelum ini.

Antaranya ialah Shukor Adan, Sapian dan Mazlan Wahid, Mohd Noor Derus, Datuk Ong Kim Swee, selain era kecemerlangan Datuk Soh Chin Aun, G Torairaju, Jantan Ali dan Akop Itam.

Namun, sejak beberapa tahun, Melaka gagal dapat melahirkan pemain muda untuk diketengahkan, sebaliknya bergantung kepada kitaran pemain bukan anak jati negeri itu.

NSTP sebelum ini melaporkan Zainal kian hampir mengisi kekosongan yang ditinggalkan Elavarasan.

Setakat ini, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari sudah memberikan lampu hijau kepada pasukan untuk mendapatkan Zainal selaku jurulatih baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 11:13 AM