DJOKOVIC (kiri) dan Federer merentap di separuh akhir. FOTO/AGENSI
AFP

PARIS: Novak Djokovic melangkah ke separuh akhir tenis Paris Masters selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menyingkirkan Marin Cilic, 4-6, 6-2, 6-3, awal pagi tadi dan merekod kemenangan ke-21 berturut-turut.

Djokovic, yang akan mengambil alih kedudukan Rafael Nadal sebagai pemain nombor satu dunia, Isnin ini akan bertemu Roger Federer, yang memburu gelaran ke-100 karier selepas menumbangkan jaguh Jepun, Kei Nishikori untuk memburu slot ke final.

Juara empat kali di Paris, Djokovic, yang tiba dengan rekod kemenangan 15-2 ke atas Cilic, berjaya meraih tiga mata break pada set pertama tetapi pemain Croatia itu tidak goyah.

Cilic kemudian memenangi set pembukaan pada permainan ke-10, sekaligus menamatkan deretan 30 kemenangan dalam set pembukaan yang dicatatkan juara Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat itu sebelum ini.

Djokovic, - dari Serbia yang juga pemenang 14 gelaran Grand Slam bangkit untuk melakukan dua break pada set kedua bagi menyamakan kedudukan.

Pada set penentuan, Cilic yang menewaskan Djokovic pada final di Queen Club, musim panas ini sekali lagi mendahului 2-1, tetapi pemain berusia 31 tahun itu sekali lagi bangkit untuk meraih kemenangan.

“Ia cabaran yang sukar. Saya ketinggalan pada set ketiga. Perlawanan ini boleh berakhir sebaliknya,” kata Djokovic. “Saya memenangi perlawanan, tetapi jika dia memenanginya, ia juga cukup layak.”

Djokovic kini memegang rekod 30-1 sejak permulaan Wimbledon dengan kekalahan tunggal hadir ketika menentang pemain Greece, Stefanos Tsitsipas pada pusingan tiga Toronto Masters, Ogos lalu.

Jika dia memenangi kejuaraan esok, Djokovic akan menyamai rekod yang dipegang Nadal iaitu 33 kejuaraan Masters.

“Saya gembira berada di separuh akhir,” kata Djokovic yang akan bertemu legenda Switzerland, Federer buat kali ke-47.

“Saya tahu saya boleh bermain lebih baik. Pada ketikanya, saya bermain dengan amat baik, ada ketika tidak. Jadi ada perkara yang jelas saya perlu tingkatkan di masa depan dan saya berusaha melakukannya.”

Satu lagi aksi separuh akhir menemukan pilihan keenam dari Austria, Dominic Thiem menentang pemain bukan pilihan dari Russia, Karen Khachanov.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 11:53 AM