MARQUEZ ketika sesi kelayakan di Sepang. FOTO AFP
MARQUEZ ketika sesi kelayakan di Sepang. FOTO AFP
Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

 

SEPANG: Juara dunia, Marc Marquez adalah pelumba terpantas hari ini namun harus memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia dari petak ketujuh, esok.

Pelumba Repsol Honda itu mencatat 2 minit 12.161 saat pada sesi kelayakan kedua (Q2) yang memberikannya petak utama ke-80 dalam kariernya.

Namun satu insiden yang menyaksikan dirinya bertembung dengan Andrea Iannone (Suzuki Ecstar) ketika sesi berkenaan menjadi penyebab dia dikenakan enam penalti grid kerana menunggang secara berbahaya, perlahan di garisan perlumbaan dan mengganggu pelumba lain.

Pelumba Monster Yamaha Tech3, Johaan Zarco dari Perancis yang mencatat 2:12.709s, berganjak ke kedudukan utama perlumbaan. Pasangan pelumba Itali, Valentino Rossi dari pasukan Movistar Yamaha dan Iannone melengkapkan barisan pertama selepas masing-masing mencatat 2:13.009s dan 2:13.097s.

Pemenang dua kali GP Malaysia, Andrea Dovizioso (Ducati) akan memulakan perlumbaan dari petak kelima selepas mencatat, 2:13.183s.

Marquez, yang menjamin gelaran dunia di Motegi bulan lalu berkata, insiden berkenaan adalah tidak disengajakan.

"Saya keluar daripada pit dan membiarkan Dovizioso memintas saya di salah satu selekoh. Saya kemudiannya melihat ke belakang dan hanya melihat seorang pelumba Suzuki iaitu Alex Rins," kata Marquez.

"Mungkin Iannone berada di sebelah lain, saya tidak melihatnya. Sekiranya saya dikenakan penalti, ia bergantung kepada Pengarah Perlumbaan.

"Mungkin saya mengganggunya. Apa yang boleh saya katakan ialah saya cuba mengelaknya, saya tidak melihatnya. Ia bukan satu masalah, saya melakukan masa terpantas dan itu lebih penting."

Marquez berkata sedemikian pada sidang media sebelum pengumuman penalti itu dimuktamadkan.

Dia juga terbabas pada sesi kelayakan tetapi mampu meneruskan saingan dengan jentera keduanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 9:19 PM