AZAM (kanan) digugukan Cheng Hoe daripada skuad kebangsaan.
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Tonggak tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih antara tiga pemain yang digugurkan jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe selepas Harimau Malaya menewaskan Maldives 3-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Selain Azam, dua lagi pemain - Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Azzizan Nordin – turut tidak tersenarai dalam 23 pemain Harimau Malaya yang akan mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2018 bermula Khamis ini hingga 15 Disember depan.

Berdasarkan senarai akhir 23 pemain yang diumumkan Cheng Hoe hari ini, lapan daripada mereka pernah berada dalam skuad Piala AFF Suzuki edisi 2016.

Antara pemain itu membabitkan Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.


AZRIF NASRULHAQ

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos manakala Kumpulan B dibarisi juara bertahan, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor Leste.

Skuad Harimau Malaya bakal membuka tirai kejohanan berdepan Kemboja di Phnom Penh, Khamis ini sebelum menanti kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, 12 November.

Selepas itu, Malaysia akan terbang ke Hanoi untuk bertemu Vietnam (16 November) dan mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 November).

Sepanjang 11 edisi sebelum ini, Malaysia hanya pernah sekali muncul juara Piala AFF Suzuki pada edisi 2010 yang mana ketika itu Cheng Hoe memainkan peranan sebagai penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 1:17 PM