SARRI terus memacu anak buah untuk terus rapatkan jurang dengan dua pendahulu liga. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Manchester City dan Liverpool kekal sebagai pencabar utama tetapi Chelsea sudah merapatkan jurang, kata pengendali Maurizio Sarri selepas skuadnya melebarkan rekod tanpa kalah musim kepada 11 perlawanan dengan kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace.

Pengendali dari Itali itu menegaskan perjalanan masih jauh tetapi peningkatan Chelsea di bawah bimbingan pakar taktikal itu musim ini cukup ketara.

The Blues menamatkan saingan musim lalu di tangga kelima, 30 mata di belakang juara Manchester City, selepas mengharungi musim yang dibayangi pertelingkahan antara pemain dan pengendali ketika itu, Antonio Conte.

Namun sejak tiba dari Napoli Julai lalu, Sarri memberi nafas baharu di Stamford Bridge dan menukar Chelsea kepada salah sebuah pasukan yang mempunyai jentera serangan paling berkesan di Eropah.

Selepas hampir satu pertiga musim, mereka kini hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, City.

Bersama-sama City dan Liverpool di tangga ketiga, Chelsea kekal tanpa kalah selepas 11 perlawanan dengan Sarri kini menyamai rekod permulaan tanpa kalah paling panjang oleh pengendali baharu Liga Perdana Inggeris – yang dicatat Frank Clark ketika membimbing Nottingham Forest pada tahun 1994.

"Manchester City dan Liverpool ketika ini di hadapan kami,” kata Sarri walaupun skuadnya mengatasi Liverpool menerusi perbezaan jaringan.

“Ketika saya tiba jurang musim lalu adalah 30 mata dengan City. Sukar untuk memperbaiki jurang ini dalam semusim, atau enam bulan. Kami perlu terus memperbaiki persembahan kerana kami melakukannya dengan baik sekali.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 8:35 AM