PENGURUS Atletico Diego Simeone (kiri) tekad bangkit pada aksi menentang Borussia Dortmund. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Permulaan kurang meyakinkan Atletico Madrid musim ini mungkin dibayangi krisis lebih besar melanda tetangganya Real, tetapi ia tidak akan dapat disembunyikan apabila berdepan Borussia Dortmund dalam aksi Liga Juara-Juara pada awal pagi Rabu.

Dua minggu lalu Dortmund meratah anak buah Diego Simeone 4-0, kekalahan terbesar Atletico sejak pengurus itu mengemudi 392 perlawanan mereka, manakala Sabtu lalu mereka diikat 1-1 oleh pasukan bergelut La Liga, Leganes yang menduduki tangga ke-18.

Atletico seharusnya menyerlah musim ini selepas menandatangani nama-nama besar untuk memperkuat cabaran mereka di pentas La Liga dan Liga Juara-Juara, ditambah dengan prospek final saingan tertinggi Eropah itu di laman mereka Wanda Metropolitano pada Jun tahun depan.

Kelemahan ketara Atletico ketika menentang Dortmund dan Leganes adalah di bahagian pertahanan yang sebelum ini dikatakan titik kekuatan mereka di bawah kendalian Simeone dan antara yang paling sukar ditembusi di Eropah.

“Tidak ada sesiapa yang mempunyai corak permainan sempurna,” kata Simeone. “Sasaran utama ialah mengejar kemenangan.”

Kelemahan di bahagian benteng menuntut aksi lebih tajam barisan depan tetapi gandingan Antoine Griezmann dan Diego Costa yang begitu berkesan musim lalu, tampak mula kehilangan bisa.

Costa baru meledak satu gol musim ini dan belum menemui jaring dalam aksi La Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 11:39 AM