NADAL tarik diri saingan Jelajah Akhir Dunia ATP. FOTO/AGENSI
NADAL tarik diri saingan Jelajah Akhir Dunia ATP. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Rafael Nadal terpaksa menarik diri daripada saingan Jelajah Akhir Dunia ATP susulan masalah kecederaan.

Keputusan itu menyaksikan Novak Djokovic menamatkan saingan hujung tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia selepas kembali di kedudukan teratas pada Isnin lalu.

Nadal yang menjuarai Terbuka Perancis berkata, dia terpaksa menarik diri  selepas kecederaan otot perut yang membuatkan dia tidak dapat beraksi pada saingan Paris Masters minggu lalu masih belum pulih selain dia perlu menjalani pembedahan buku lali.

“Malangnya, saya mengalami masalah kecederaan otot perut di Paris minggu lalu dan saya juga berdepan kecederaan buku lali. Saya perlu menjalani pembedahan hari ini,” kata Nadal menerusi Twitter miliknya.

“Saya harap dapat kembali pulih dan berada pada tahap terbaik bagi mengharungi saingan musim depan.”

Pemain Amerika Syarikat, John Isner akan menggantikan tempat Nadal dalam kejohanan yang berlangsung di London itu bermula Ahad ini.

Kei Nishikori juga tersenarai bagi menggantikan pemain Argentina, Juan Martin del Porto yang menarik diri susulan masalah kecederaan lutut.

Penarikan diri Nadal pada saingan di Paris membolehkan Djokovic kembali di tangga teratas ranking dunia.

Pemain Serbia itu akan menjadi pemain pertama menamatkan saingan hujung tahun sebagai pemain nombor satu dunia biarpun sebelum itu berada di luar kelompok 20 terbaik dunia dalam musim yang sama sejak ranking ATP diperkenalkan pada 1973

“Berdasarkan apa yang saya lalui tahun lalu, ia pencapaian yang luar biasa untuk saya kali ini. Sudah pasti saya sangat gembira dan bangga dengan pencapaian ini.

“Lima bulan lalu, jika kamu katakan itu,  saya akan – sentiasa percaya dengan diri sendiri tetapi ia sangat mustahil melihat kepada kedudukan ranking saya ketika itu dan bagaimana saya bermain di gelanggang,” kata Djokovic.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 8:27 AM