Jackie Wong sasar lebih jauh. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Beraksi di dua temasya besar - Sukan Komanwel dan Asia - jelas memberi pengalaman berguna buat atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong dalam merencana strategi terbaik bagi mengharungi cabaran tahun depan. 

Katanya, dia mahu menjadikan temasya Sukan SEA Filipina 2019 sebagai medan untuknya memadamkan rekod kebangsaan 66 meter (m) miliknya yang dilakukan ketika di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia awal tahun ini. 

Mengakui sedikit kecewa dengan prestasinya tahun ini apabila hanya sekali berjaya memecahkan rekod kebangsaan berbanding tahun lalu sebanyak empat kali, namun Jackie berkata, dia akan terus berusaha. 

Katanya, banyak yang dipelajari terutama ketika beraksi di Komanwel apabila sekadar membuat balingan 64m, jauh daripada pencapaian terbaik peribadinya.

“Memang saya belajar sesuatu di Komanwel. Terima kasih kerana memberi saya peluang. Ketika di Gold Coast tempoh hari, saya tahu sebenarnya saya mampu buat yang lebih baik dan boleh melakukan lebih dari 67m.

“Tapi mungkin kerana terlalu inginkan perkara itu, otot menjadi tegang dan apa yang dilakukan tidak menjadi.

“Selepas Komanwel, saya ke Sukan Asia dan catatan balingan itu dapat diperbaiki. Saya melakukan 65.92m untuk berada di ranking ketujuh Asia ketika itu,” katanya yang menyasarkan untuk melakukan balingan 70m tahun di depan. 

Untuk rekod, atlet kelahiran Sarikei, Sarawak berusia 26 tahun itu melakarkan sebanyak sembilan rekod kebangsaan selepas berlatih di bawah Gu Yuan sejak lima tahun lalu.

Antara kejohanan penting yang akan disertainya tahun depan selain Sukan SEA adalah Kejohanan Trek dan Padang Asia di Qatar. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 5:13 PM