KANE yakin Spurs akan rebut slot saingan kalah mati. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Harry Kane percaya Tottenham Hotspur masih berpeluang untuk melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas muncul penyelamat untuk pasukannya ketika menang 2-1 ke atas PSV Eindhoven awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu hanya berbaki 12 minit permainan untuk tersingkir selepas mereka dikejutkan dengan gol pembukaan pemain PSV, Luuk De Jong pada minit kedua.

Bagaimanapun Kane yang juga kapten England, muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan sebelum menanduk masuk gol kemenangan pada lewat permainan.

“Kami kerap melakukan serangan dan akhirnya kami dapat melakukan cubaan berbahaya. Apa pun saya rasa kami memang berhak untuk menang.

“Kami perlu berusaha lebih keras ketika berdepan saat genting.

“Sudah tentu kami mahu menduduki tangga teratas di saingan liga dan beraksi dengan baik di Liga Juara-Juara, tapi hakikatnya kami sedang berusaha keras ke arah itu.”

Spurs masih berdepan tugas sukar untuk melangkah ke pusingan kalah mati kerana mereka perlu menewaskan Inter Milan di tempat sendiri dan kemudian berkunjung ke Barcelona, 11 Disember depan.

“Ia satu lagi perlawanan yang kami perlu menang kerana kami mahu melangkah ke pusingan kedua.

“Pasukan ini sedang meningkat. Dalam empat perlawanan kami melakar tiga kemenangan dan tewas sekali kepada Manchester City. Saya fikir keputusan seri itu sudah memadai.

“Bagaimanapun sudah tentu kami juga mahu memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa,” kata Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:51 AM