AHMAD Faizal pada sidang media selepas menjadi deejay jemputan di konti radio Perakfm. FOTO/NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop

IPOH: Kejayaan Perak menjuarai Piala Malaysia kali kelapan selepas menundukkan Terengganu FC pada 27 Oktober lalu akan diraikan pada Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2018, di sini Ahad ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri menjemput semua rakyat di negeri itu untuk bersama-sama meraikan dua sambutan pada larian berkenaan.

Katanya, selain menyambut Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, rakyat negeri itu berkesempatan melihat sendiri Piala Malaysia yang akan dipamerkan pada sambutan itu.

“Pada hari berkenaan (Ahad ini) semua pemain bola sepak (pasukan yang menjuarai Piala Malaysia) akan turut hadir bagi meraikan kejayaan membawa pulang trofi Piala Malaysia bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Jemput orang ramai berpakaian sukan datang beramai-ramai Ahad ini bagi sama-sama meraikan dua hari bersejarah negeri (Hari Keputeraan Sultan dan meraikan juara Piala Malaysia).

“Saya sudah menyembahkan perkara ini kepada Sultan Nazrin dan baginda berkenan bersama-sama meraikan kejayaan itu (juara Piala Malaysia) dan menganugerahkan pingat kepada pemain sehari sebelum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi deejay jemputan di konti radio Perakfm dengan menampilkan tetamu jemputan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelbagai desakan yang meminta Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim untuk meletakkan jawatan berikutan caranya mengendalikan piala itu, Ahmad Faizal meminta penyokong supaya mengawal emosi.

Menurutnya, beliau menerima pandangan penyokong dan sudah berbincang dengan Presiden PAFA mengenai beberapa perkara sebelum mencari jalan penyelesaian bagi meredakan kemarahan penyokong.

“Penyokong perlu mengawal emosi dan memikirkan cara terbaik menguruskan kejayaan kerana kita akan bertanding di peringkat lebih besar lepas ini iaitu Piala AFC.

“Justeru, saya akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi meredakan kemarahan ini sekali gus membolehkan pasukan fokus untuk kejayaan seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 12:35 PM