LEE Tuck mengesahkan kekal bersama Terengganu. FOTO/NSTP
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Pemain paling popular Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018, Lee Tuck menamatkan kegelisahan peminat setia Terengganu FC (TFC) apabila mengesahkan kekal bersama skuad Penyu musim depan.

Sebelum ini pemain dari England yang masih mempunyai kontrak hingga 2019 dikatakan akan membuat pusingan U selepas dilamar pasukan Liga Super musim depan.

“Ya, saya akan terus kekal bersama TFC musim depan biarpun mendapat tawaran pasukan lain. Ini kerana saya sudah menikmati suasana yang baik di sini (Terengganu) dan gembira selain sudah serasi dengan rakan sepasukan.

“Saya harap musim 2019 akan membuka lembaran baharu buat TFC selain menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala selepas gagal melakukannya musim ini,” kata Tuck.

Tuck atau lebih dikenali sebagai ‘Rooney Ganu’ dalam kalangan peminat setia skuad Penyu mula menyarung jersi TFC awal musim ini selepas berpindah dari Negeri Sembilan.

Pemain kesayangan peminat setia TFC itu bukan saja bijak merencana di jentera tengah, tetapi pemain yang mula mencipta nama bersama Halifax Town di England itu juga mampu menghasilkan jaringan.

Pada aksi final Piala Malaysia menentang Perak bulan lalu, pemain dengan ketinggian 1.75 meter itu gagal membantu pasukannya selepas diarah keluar padang pada babak kedua susulan dilayangkan kad kuning kedua.

Sementara itu penyerang sensasi TFC, Kipre Tchetche belum memutuskan lagi pasukan mana yang akan diwakili musim depan meskipun peminat setia tidak sabar menunggu sambil mengharapkan pemain dari Ivory Coast itu terus kekal berasma TFC.

Minggu lalu, Tchetche yang muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia musim ini dengan sembilan gol memaklumkan akan mengumumkan statusnya minggu ini selepas mendapat lamaran beberapa pasukan.

“Tunggu, saya akan beri jawapannya selepas ini,” kata Tchetche ringkas kepada Sukan NSTP pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 12:51 PM