PENGENDALI sementara Real Madrid, Santiago Solari. FOTO EPA

MADRID: Pengendali sementara Real Madrid, Santiago Solari berharap peluangnya untuk memikul tanggungjawab itu secara sepenuh masa melonjak menerusi kemenangan ke atas Celta Vigo dalam aksi La Liga, Ahad ini.

Kunjungan ke Estadio Municipal de Balaidos menghadirkan ujian getir buat Solari setakat ini dengan bekas pemain tengah Argentina itu sudah menang tiga perlawanan sejak mengambil alih tugas Julen Lopetegui yang dipecat.

Real, yang menghuni tangga keenam liga dan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Barcelona bergelut untuk meraih kemenangan ke atas Vigo sebelum ini malah diikat 2-2 pada musim lalu di gelanggang sama.

Media tempatan melaporkan kemenangan akan melengkapkan 'ujian' untuk kenaikan pangkat tetapi Solari menegaskan fokusnya adalah untuk meraih tiga mata berbanding memikirkan mengenai masa depannya.

"Saya hanya berfikir mengenai perlawanan berikutnya dan tiada apa selain itu," kata Solari. "Saya hanya boleh melihat kepada pautan seterusnya dalam rantaian itu, dan perlawanan paling penting sentiasa adalah perlawanan yang berikutnya.

"Kami memberi fokus penuh dan berusaha bersungguh-sungguh bagi perlawanan pada minggu ini.

"Saya tahu ia klise, tetapi bola sepak adalah mengenai kamu di sini dan ketika ini, dan ia bukanlah falsafah yang buruk untuk digunakan. Kita akan melihatnya selepas ini."

Sementara itu, pendahulu liga Barcelona yang menanti kunjungan Real Betis di Nou Camp dijangka tidak bermasalah untuk meneruskan rentak cemerlang tetapi persoalan sama ada bintangnya, Lionel Messi akan diturunkan masih menjadi persoalan.

Penyerang itu mengalami kecederaan di bahagian bahu pada bulan lalu dan sekali pun kelibatnya tidak dirindui dalam aksi Clasico ke atas Real, kehadirannya tampak kembali ditagih Barca selepas penyandang juara itu sekadar meraih kemenangan tipis ke atas Rayo Vallecano minggu lalu. - Reuters

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 11:36 PM