Ketua Jurulatih Futsal Lelaki Kebangsaan, Chiew Chun Yong. Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Thailand sering menjadi 'mimpi ngeri' buat skuad futsal lelaki negara dengan kedua-dua pasukan sekali lagi akan membuat perhitungan di pentas akhir Kejuaraan Futsal AFF 2018 di Gelanggang Olahraga (GOR) Universitas Negeri Yogyakarta, esok.

Skuad Gajah Perang itu mengecewakan Malaysia pada pentas akhir edisi lalu apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menundukkan pemain negara 4-3 selepas masa tambahan sekali gus menjuarai pertandingan itu buat kali ke-13.

Mereka turut menafikan pingat emas buat skuad negara pada aksi Sukan SEA 2017 apabila menewaskan Malaysia 4-3 pada aksi terakhir dan menyaksikan negara terus kempunan untuk meraih pingat emas dalam acara futsal lelaki.

Mereka sekali lagi bertemu pada aksi PTT Thailand Five di Bangkok bulan lalu namun anak buah Chiew Chun Yong seakan tidak mempunyai jawapan untuk menewaskan Thailand apabila tumbang 7-1 pada aksi jemputan itu.

Di atas kertas, Thailand dilihat menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan namun pemain futsal negara, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin menegaskan peluang tetap terbuka kepada kedua-dua pasukan untuk dinobatkan sebagai 'Raja Futsal Asia Tenggara.'

"Kita sedia maklum bahawa Thailand sememangnya sebuah pasukan yang melakukan persiapan rapi berbanding Malaysia yang berehat daripada kejohanan besar selama enam bulan dan hanya menjalani latihan sejak September lalu,” kata Khairul.

"Bagaimanapun, kami mendapat banyak pengajaran daripada beberapa aksi menentang mereka sebelum ini dan kami akan berusaha sehabis baik untuk menjulang trofi ini buat kali pertama."

Mengulas mengenai 'rekod buruk' bertemu Thailand, pemain dari Melaka itu mengakui mereka perlu melupakan perkara terbabit sebaliknya kekal fokus untuk mempertahankan kelebihan sekiranya berjaya mendahului perlawanan.

"Meskipun Thailand dilihat bergelut untuk menewaskan Indonesia pada aksi separuh akhir, itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk perlawanan final. Kami perlu sentiasa berwaspada kerana Thailand sememangnya pasukan yang sentiasa memberikan cabaran sengit.

"Berdasarkan aksi bertemu Vietnam, kami tahu bahawa tidak boleh untuk mensia-siakan peluang apabila memiliki kelebihan dengan mendahului perlawanan apatah lagi menentang Thailand," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 5:23 PM