GODIN (terbaring) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan Antoine Griezmann pada perlawanan La Liga menyaksikan Atletico Madrid menang 3-2 ke atas Athletic Bilbao di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid. FOTO Reuters.
GODIN (terbaring) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan Antoine Griezmann pada perlawanan La Liga menyaksikan Atletico Madrid menang 3-2 ke atas Athletic Bilbao di Stadium Wanda Metropolitano di Madrid. FOTO Reuters.
Reuters

MADRID: Atletico Madrid bangkit dua kali sebelum meraih kemenangan 3-2 di laman sendiri ke atas Athletic Bilbao awal pagi hari ini, melengkapkan kebangkitan mereka dengan gol tandukan padu kapten Diego Godin pada masa kecederaan.

Bilbao yang seri dengan Real Madrid dan Barcelona musim ini namun tidak menang sejak hari pertama liga, mendahului pada minit ke-36 apabila Inaki Williams merembat masuk selepas percubaan rakan sepasukan Mikel San Jose terkena palang.

Williams terlepas peluang baik menambah gol Athletic pada awal babak kedua dan dilihat menyesal apabila Thomas Partey menjaringkan gol jarak jauh untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Williams pantas membalas bagi membantu Athletic kembali mendahului, menghasilkan penamat menarik selepas meluru menyambut lorongan rakan baik Iker Muniain, namun pemain tengah Atletico, Rodri menyamakan kedudukan pada minit ke-80 dengan gol sulungnya buat kelab itu menerusi tandukan susulan sepakan sudut.

Godin yang kekal di tengah padang hanya kerana Atletico sudah melakukan maksimum tiga pertukaran, meluru ke dalam kotak penalti untuk menanduk masuk gol kemenangan susulan sepakan percuma, awalnya dikatakan ofsaid namun diberikan selepas merujuk kepada pengadil bantuan video (VAR).

Kemenangan itu menyusul selepas Atletico menewaskan Borussia Dortmund 2-0 dalam Liga Juara-Juara dan membantu anak buah Diego Simeone melonjak ke tangga kedua La Liga, satu mata di belakang Barcelona yang berdepan Real Betis hari ini.

“Kami masih terkesan dengan kerja keras sebelum ini (menentang Dortmund), mereka menekan kami tapi kami berjuang hingga ke akhir, kami bersaing dan mendapat hasilnya,” kata Godin, yang menjaringkan gol penentu kejuaraan La Liga buat Atletico pada 2014.

“Saya mengalami kecederaan ketika gol kedua Athletic, saya tidak boleh berlari. Saya mahu keluar tapi pertukaran tidak boleh dilakukan lagi jadi saya kekal. Simeone memberitahu saya supaya kekal di depan sebagai penyerang.”

Valencia meneruskan rentak baik susulan kemenangan penting Liga Juara-Juara ke atas Young Boys, Rabu lalu dengan meraih kemenangan kedua La Liga musim ini, mengalahkan Getafe 1-0 menerusi penalti sumbangan kapten Dani Parejo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 9:31 AM