Austin kritik pengadil. FOTO Agensi
Austin kritik pengadil. FOTO Agensi
Reuters

SOUTHAMPTON, England: Penyerang Southampton, Charlie Austin mengkritik pedas pengadil selepas golnya tidak disahkan ketika seri 1-1 dengan Watford pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

“Ia tak masuk akal, mereka sepatutnya tidak mengadili perlawanan ini,” kata Austin kepada Sky Sports selepas pengadil Simon Cooper, yang hanya mengendalikan aksi kedua dalam Liga Perdana musim ini, mendakwa sepakannya terkena Maya Oshida, yang berada dalam kedudukan ofsaid, ketika Southampton mendahului 1-0.

“Kami menjaringkan gol cantik dan sempurna yang dikatakan ofsaid,” kata Austin. “Pegawai menyebabkan kami kehilangan dua mata. Mereka kata ia ofsaid, ia satu jenaka.”

Southampton terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas Jose Holebas menyumbat gol penyamaan lewat untuk memadamkan jaringan awal Manolo Gabbiadini. Kelab pantai selatan itu kini lapan perlawanan tidak menang dan menghuni satu anak tangga di atas tiga kelab tercorot.

Austin berkata, sistem pengadil bantuan video (VAR) perlu dibawa ke Liga Perdana bagi memastikan keputusan tepat dilakukan.

“Orang menyatakan mengenai VAR; mereka jelas perlukan bantuan. Jika ini liga terbaik, liga dengan penonton paling ramai di dunia maka mereka perlukan bantuan. Ia menggelikan hati.

“Kami berasa kami dikecewakan. Kami bermula baik, bekerja keras untuk mendahului 1-0 ketika rehat dan kami memenuhi perancangan. Kami tidak kalah tapi kami patut meraih tiga mata menjelang rehat tugasan antarabangsa... saya marah kerana kami patut menang 2-0.”

Pengurus Southampton, Mark Hughes bersetuju dengan Austin, memberitahu BBC: “Ia tidak cukup bagus, persembahan pengadil.

“Apa yang kami mahukan dalam satu perlawanan adalah keputusan pada saat penting supaya tepat. Ia memerlukan pengadil dengan kemahiran, bakat atau mereka tidak berada di tahap ini. Pengadil hari ini kurang pengalaman.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 3:36 PM
Kabinet Malaysia 2020