PEMAIN Real meraikan kemenangan. -Foto Reuters
Reuters

VIGO: Real Madrid mencatat kemenangan keempat berturut-turut di bawah kendalian jurulatih sementara Santiago Solari selepas menewaskan Celta Vigo 4-2 di tempat lawan sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga, Barcelona kepada empat mata, awal pagi tadi.

Karim Benzema membuka tirai jaringan juara Eropah itu pada minit ke-20 selepas mendapat hantaran Luka Modric.

Kelincahan bintang Perancis itu sekali lagi sukar dibendung apabila menjaringkan gol kedua pada awal babak kedua selepas memperdayakan dua pertahanan lawan dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Sergio Alvarez.

Walaupun tuan rumah merapatkan jurang melalui Hugo Mallo tetapi mereka kerap dihampakan ketangkasan pertahanan Real.

Sebaliknya pelawat terus garang dan menambah jaringan melalui penalti ‘panenka’ oleh kapten Sergio Ramos dan rembatan deras Dani Ceballos pada masa kecederaan sebelum jaringan lewat Brais Mendez untuk gol kedua Celta.

Walaupun prestasi Real belum pulih secara keseluruhannya di bawah kendalian Solari tetapi nasib mereka bertambah baik berbanding minggu terakhir di bawah Julen Lopetegui yang dipecat dua minggu lalu selepas dibelasah Barcelona 5-1.

Kekalahan itu menyebabkan mereka ketinggalan tujuh mata di belakang Barca tetapi kemenangan ke atas Celta menyaksikan mereka melonjak ke tangga keenam dengan 20 mata daripada 12 perlawanan sekali gus merapatkan kedudukan dengan Barca yang kekal 24 mata selepas tewas mengejut kepada Real Betis 4-3 di tempat sendiri.

Peraturan bola sepak Sepanyol membolehkan Solari beralih daripada jurulatih sementara kepada kekal jika Real tidak mengisi jawatan itu hari ini.

Solari pula enggan mendedahkan sama ada beliau mendapat sebarang isyarat daripada presiden, Florentino Perez dalam masa 24 jam.

"Apa yang penting ialah melakukan keputusan yang baik untuk kepentingan pasukan, tiada lain,” katanya kepada wartawan.

Beliau juga memuji sumbangan Karim Benzema yang sebelum ini kerap menjadi kambing hitam ketika Real mengalami kemerosotan prestasi tetapi kembali menemui momentum akhir-akhir ini.

"Mereka mempamerkan kematangan personaliti terutamanya Karim,” katanya. “Jaringan pertamanya sangat hebat dan itu memang kegemarannnya. Dia membuka ruang dan bertahan sekali gus prestasi lengkap Benzema,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 10:23 AM