MATT KUCHAR
MATT KUCHAR
Reuters

 

 

MEXICO: Matt Kuchar bangkit daripada dua bogey berturut-turut untuk memenangi gelaran pertama Jelajah PGA dalam tempoh empat tahun menerusi kelebihan satu pukulan mengatasi pemain New Zealand, Danny Lee di Mayakoba Classic.

Kuchar menguasai sebahagian besar kejohanan namun bergelut pada lubang ke-14 dan 15 membolehkan Lee menjadikan situasi lebih menarik apabila merapatkan kedudukan dengan perbezaan satu pukulan menerusi birdie pada lubang ke-16 di lapangan El Camaleon itu.

Kuchar, beraksi di belakang Lee, mengumpul par pada tiga lubang terakhir, akhirnya menang menerusi pukulan pada jarak tiga kaki pada lubang ke-18 dengan Lee terlepas birdie yang mampu menjadikan kedudukan mereka terikat.

Kuchar yang berusia 40 tahun, melengkapkan pusingan dengan dua bawah par 69 untuk menamatkan saingan dengan 262 pukulan keseluruhan, 22 bawah par, catatan paling rendah dalam sejarah kejohanan yang membabitkan saingan 72 lubang.

Kuchar tidak memenangi sebarang jelajah sejak April 2014 di RBC Heritage, Carolina Selatan. Ia adalah kejuaraan kelapan dirinya dalam jelajah.

Lee melakukan enam bawah par 65 untuk mengumpul 263 secara keseluruhan, 21 bawah par, menyamai rekod kejohanan pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 1:03 PM