HADI FAYYADH ABDUL RAZAK
Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: Semangat penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak tetap berkobar untuk beraksi di Liga Jepun apabila dijadualkan terbang sekali lagi ke negara matahari terbit itu untuk menjalani ujian bersama kelab Fagiano Okayama.

Meskipun dirinya cuba didekati tiga pasukan dari Liga Super yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan, Hadi menjelaskan ketika ini tumpuannya lebih terarah mendapatkan kontrak bermain di luar negara.

“Ada tiga pasukan tempatan yang tanya tetapi saya mungkin meletakkannya dalam pelan B sekiranya tak berjaya mendapatkan pasukan di Jepun.

“Saya akan berangkat sekali lagi ke Jepun pada 26 November ini untuk menjalani latihan dan ujian bersama kelab Fagiano Okayama buat kali kedua.

“Saya harap pemergian pada penghujung bulan ini berjaya. Walaupun sudah dua kali mencuba semangat saya tetap kuat dan akan berikan yang terbaik sepanjang berada di sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Hadi menjadi tarikan media Jepun apabila menjalani latihan bersama kelab liga divisyen dua, Roasso Kumamoto selama seminggu pada Ogos lalu sebelum sekali lagi mencuba nasib dengan kelab Fagiano Okayama September lalu.

Pemergian Hadi menimba pengalaman dengan dua kelab di sana sebelum ini diuruskan oleh syarikat pengeluar minuman Yakult (M) Sdn Bhd yang percaya bekas pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) memiliki keupayaan untuk bersaing di liga terbaik Asia itu.

Dia yang ketika ini berehat selepas membantu skuad B-19 tahun negara di Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia bulan lalu, melakukan latihan secara sendiri untuk mengekalkan tahap kecergasan sebelum ke Jepun penghujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 2:22 PM